PPM rampas 1,980 ekor ayam hidup

Mohd Razlin (kiri) memeriksa lori membawa ayam hidup seludup yang ditahan di Kampung Jubakar, Tumpat pada Rabu.
Mohd Razlin (kiri) memeriksa lori membawa ayam hidup seludup yang ditahan di Kampung Jubakar, Tumpat pada Rabu.
A
A
A

TUMPAT - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor menggagalkan cubaan menyeludup masuk 1,980 ekor ayam hidup selepas menahan sebuah lori di Kampung Jubakar di sini pada Rabu.

Serbuan jam 12.30 pagi itu hasil maklumat risikan yang dilakukan oleh anggota PPM.

Timbalan Komander, PPM Wilayah Tiga, Superintendan Mohd Razlin Abdul Manaf berkata, pihaknya turut menahan pemandu lori berusia 35 tahun bagi membantu siasatan.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan ayam hidup termasuk lori dianggarkan berjumlah RM160,192.

"Harga ayam yang mahal dan tiada bekalan menjadi punca kepada aktiviti penyeludupan ayam hidup dari negara jiran masuk ke negeri ini.

"Setakat ini, tiga kes penyeludupan ayam hidup dari negara jiran telah berjaya ditumpaskan dengan kerjasama Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan," katanya kepada pemberita di Markas PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di sini pada Rabu.

Mohd Razlin berkata, pada Jumaat lalu, pihaknya dengan kerjasama PGA telah merampas 3,480 ekor ayam hidup berjumlah RM293,960 selepas menahan dua buah lori di kawasan Pengkalan Kubor di sini.

Beliau berkata, serbuan pertama dilakukan pada jam 1 pagi di pengkalan haram Pok Leh, Tualang, manakala serbuan kedua dilakukan selang 30 minit kemudian di Simpangan.

Artikel Berkaitan:

"PPM turut menahan tiga lelaki tempatan bagi membantu siasatan.

"Kita akan terus memperketatkan lagi kawalan di perairan sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Kuala Tak Bai sehingga ke Kubang Pak Itam, Pasir Mas dalam usaha mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan," katanya.

Katanya, PPM sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam aktiviti jenayah rentas sempadan membabitkan aktiviti penyeludupan.