Tiada sebab sekat rentas negeri: MB Perak

Saarani ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu. - Foto Pejabat Menteri Besar Perak
Saarani ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu. - Foto Pejabat Menteri Besar Perak
A
A
A

IPOH - Perak tidak akan menyekat kemasukan individu dan pelancong dari negeri lain meskipun kadar vaksinasi lengkap di negeri itu belum mencapai 90 peratus.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menetapkan bahawa apabila kadar vaksinasi lengkap negara mencapai 90 peratus, kebenaran untuk merentas negeri diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Menurutnya, bagaimanapun langkah keselamatan terutama dari sudut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) akan dipertingkatkan bagi mengelak penularan Covid-19.

"Kalau 90 peratus lengkap divaksin, sempadan akan dibuka. Saya tak fikir sekatan-sekatan di antara negeri dengan negeri sebab ia diambil secara keseluruhan.

"Saya pasti orang akan berpusu-pusu ambil kesempatan ke Pulau Pangkor. Sebagai kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan yang terlibat pelancongan, kami minta untuk ada peraturan-peraturan SOP tertentu yang mesti dipatuhi supaya tidak berlaku ruang untuk jangkitan Covid-19," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.

Menurutnya, kerajaan negeri bersetuju supaya semua pihak berhati-hati serta memastikan SOP dipatuhi sepanjang tempoh kebenaran merentas negeri dan pembukaan sektor pelancongan berkenaan.

Saarani berkata, Pulau Pangkor dijangka dibuka kepada pelancong pada November dan antara keperluan dipertimbangkan termasuk tambahan perjalanan feri bagi menampung bilangan pengunjung.

Berdasarkan data KKM menerusi portal CovidNow, kadar vaksinasi lengkap di Perak ketika ini bagi populasi dewasa sebanyak 76.6 peratus dan diunjurkan mencapai 80 peratus pada 11 Oktober depan.

Artikel Berkaitan: