'Saya dan Idris masih ahli UMNO, kalau nak pecat panggil dulu'

Nor Azman, Idris
Nor Azman, Idris
A
A
A

MELAKA - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dan bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron masih ahli UMNO.

Nor Azman berkata, sekiranya UMNO ingin memecat keahlian mereka, parti berkenaan perlu memanggil mereka berdua.

"Saya dan Datuk Seri Idris Haron masih ahli UMNO dan tidak akan menyertai mana-mana parti. Saya akan menentukannya pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) nanti.

"Jika hendak pecat kami, perlu panggil kami berdua menghadap," katanya dalam sidang akhbar di Dewan Qashrina Qruise pada Rabu.

Tegas Nor Azman, walaupun sudah menarik sokongan terhadap Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan kerajaan negeri Melaka tetapi beliau masih menyayangi UMNO.

"Sudah terlambat untuk Datuk Seri Ab Rauf bertemu saya. Minta maaf sudah terlambat. Orang kata, saya buat ini (tarik sokongan) untuk kepentingan diri, tetapi saya tak gilakan jawatan. Dia aniaya saya," katanya.

Dalam pada itu, Nor Azman mendakwa, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah disebabkan kepentingan sendiri beberapa pemimpin.

"Saya tidak salahkan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka tetapi saya salahkan kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nor Azman dan Idris bersama dua lagi ADUN iaitu Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas - Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan pentadbiran Sulaiman.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN Melaka), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyatakan bahawa Proklamasi Pembubaran DUN Melaka diwartakan pada Selasa.