X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 18 Januari 2022

Titah Sultan Johor jadi pegangan ADUN PH

A
A

JOHOR BAHRU- Titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menjadi pegangan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Pakatan Harapan (PH) di Johor dalam mengekalkan kestabilan politik kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional ( PN) yang memiliki majoriti tipis.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, kesemua 27 ADUN PH sentiasa menjunjung kasih titah Sultan Ibrahim yang mahu wakil rakyat di negeri ini berganding bahu membantu rakyat ketika pandemik Covid-19.

Kata beliau, isu politik sepatutnya diselesaikan dalam parti dengan berpaksikan kepada kejujuran dan keikhlasan selain menjaga ruang bidang masing- masing tanpa perlu mengheret rakyat.

"PH Johor sentiasa mengambil pendekatan mendahulukan isu rakyat berbanding politik yang keterlaluan. Titah Sultan Ibrahim supaya wakil rakyat tidak melakukan perkara tidak elok menjadi pegangan kepada PH Johor.

"Politik di sini saling menghormati, dalam hal ini PH sentiasa fokus membantu rakyat berbanding politik yang tidak berkesudahan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Aminolhuda yang juga Ketua Pembangkang berkata, pergolakan di Melaka yang menyaksikan Pilihan Raya Negeri ( PRN) bakal dilaksanakan perlu menjadi pengajaran kepada kerajaan di bawah pimpinan UMNO dan Perikatan Nasioanal (PN).

"BN dan PN perlu fokus bantu rakyat kerana Covid-19 masih melanda yang memberi kesan kepada ekonomi. Suasana hari ini berbeza, tetapi nampaknya kerajaan PN dan UMNO sering bergolak," kata ADUN Parit Yaani itu.

Pada Selasa, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad dilaporkan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan keruntuhan kerajaan negeri Melaka juga boleh berlaku di negeri lain termasuk negeri di bawah pentadbirannya.

Katanya, perkara itu boleh berlaku kepada mana-mana negeri terutama negeri yang mempunyai sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan yang tipis.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, ketika merasmikan pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor 18 Ogos lalu, memberi amaran baginda tidak akan teragak-agak untuk membubarkan DUN Johor jika berlaku cubaan menjatuhkan kerajaan negeri sedia ada.

Kerajaan Johor di bawah pimpinan Hasni mempunyai sokongan majoriti mudah dengan 29 kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi.

Kerajaan Johor mempunyai sokongan daripada UMNO (14 kerusi), Bersatu (12 kerusi), MIC (dua kerusi), Pas (satu kerusi) sementara PH pula terdiri daripada DAP (14 kerusi), Amanah (enam kerusi) dan PKR (tujuh kerusi).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!