Perak terima pelaburan RM5.2 bilion

Saarani ketika sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu. - Foto Pejabat Menteri Besar Perak
Saarani ketika sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu. - Foto Pejabat Menteri Besar Perak
A
A
A

IPOH - Perak merekodkan prestasi pelaburan memberangsangkan dengan nilai sebanyak RM5.2 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, nilai pelaburan yang direkodkan dari Januari hingga Jun 2021 itu hampir menyamai prestasi nilai pelaburan keseluruhan sepanjang tahun lalu yang berjumlah RM5.6 bilion.

Menurutnya, peningkatan sebanyak 126 peratus itu menyaksikan Perak berada di landasan yang kukuh bagi memasuki fasa pemulihan ekonomi kesan pandemik Covid-19.

"Prestasi itu menunjukkan Perak masih mampu merekodkan peningkatan pelaburan meskipun berdepan persekitaran sangat mencabar susulan pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan terhadap perjalanan ekonomi utama di seluruh dunia.

"Pelaburan Januari hingga Jun 2021 di negeri Perak didominasi oleh projek-projek perkilangan apabila jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor itu adalah sebanyak RM4.06 bilion meliputi 21 buah projek," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Hadir sama, Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman.

Saarani berkata, antara projek terbesar yang telah diluluskan dalam sektor perkilangan di negeri ini sepanjang tempoh berkenaan termasuklah Sheng Long AquaTechnology (M) Sdn Bhd iaitu syarikat dari China yang mempunyai kepakaran di dalam bidang akuakultur dan makanan akuakultur berprestasi tinggi dengan nilai pelaburan RM3 bilion.

Menurut beliau, selain itu syarikat Eco Medi Glove dari Singapura yang menghasilkan sarung tangan, PNA Technologies Sdn Bhd yang merupakan syarikat pembuatan kelengkapan bagi industri automotif yang akan membuat pelaburan di Kampung Gajah dan beberapa syarikat lain.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagi sektor perkhidmatan dan sektor utama pula, masing-masing mencatatkan jumlah pelaburan yang telah diluluskan sebanyak RM1.15 bilion dan RM22,000 melibatkan sebanyak 151 projek.

"Kelulusan pelaburan dalam semua sektor diunjur mewujudkan 4,162 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat negeri Perak dengan sektor perkilangan menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak 91.4 peratus.

"Kerajaan negeri akan terus menggiatkan usaha termasuk melipatgandakan kerjasama dengan pihak MIDA yang membantu memperkasakan proses perniagaan selain meningkatkan kecekapan pelbagai fungsi organisasi," katanya.

Sementara itu, Arham berkata, terdapat juga permohonan pelaburan di negeri ini yang ditolak atas faktor-faktor tertentu.

Katanya, antara sebab permohonan tersebut ditolak kerana projek tersebut akan menjejaskan alam sekitar.