MB Selangor saran pengguna simpan air secukupnya

Notis yang dikeluarkan hentitugas.airselangor.com memaklumkan peringkat pemulihan bekalan air akan bermula jam 5 petang pada 14 Oktober dan dijangka pulih sepenuhnya pada 16 Oktober, jam 9 malam.
Notis yang dikeluarkan hentitugas.airselangor.com memaklumkan peringkat pemulihan bekalan air akan bermula jam 5 petang pada 14 Oktober dan dijangka pulih sepenuhnya pada 16 Oktober, jam 9 malam.
A
A
A

SHAH ALAM - Air Selangor akan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan air pada 13 Oktober ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sehubungan itu pengguna di Selangor disaran menyimpan bekalan air secukupnya serta merujuk laman hentitugas.airselangor.com bagi mendapatkan maklumat berkaitan.

"Kerja-kerja ini tertangguh sejak tahun 2019 dan penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti kebocoran paip SSP 1 pada tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan dan berkongsi info grafik notis hentitugas.airselangor.com di laman Facebooknya, pada Rabu.

Dalam pada itu, hentitugas.airselangor.com memaklumkan, kerja-kerja itu dilaksanakan bagi menambah baik aset dan fasiliti bekalan air.

Menurut notis berkenaan, sekiranya tidak dilaksanakan, berkemungkinan ia menyebabkan kerosakan dan gangguan bekalan air secara mengejut.

"Kelulusan kerja telah diberikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) manakala kesan kerja akan membabitkan penghentian sementara tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1(LRA SSP1).

"Tempoh penyelenggaraan bermula jam 9 pagi sehingga 11 malam pada13 Oktober membabitkan 998 kawasan di Wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat, Kuala Selangor," menurut notis itu.

Notis tersebut turut memaklumkan peringkat pemulihan bekalan air akan bermula jam 5 petang pada 14 Oktober secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada 16 Oktober, jam 9 malam.

Artikel Berkaitan:

Sebagai langkah sokongan 105 lori tangki air akan dihantar ke kawasan terjejas dengan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Pembelian air menerusi lori tangki air di empat stesen pengisian air setempat bagi pelanggan komersial turut disediakan manakala senarai 18 pili air awam dan stesen pengisian air boleh dirujuk di hentitugas.airselangor.com

ARTIKEL BERKAITAN:998 kawasan di Lembah Klang alami gangguan air bermula 13 Oktober