Nelayan turun ke laut dikhuatiri hilang

Operasi mencari dan menyelamat diaktifkan untuk mengesan nelayan yang dilaporkan hilang sejak Selasa. - Foto ihsan Maritim Malaysia
Operasi mencari dan menyelamat diaktifkan untuk mengesan nelayan yang dilaporkan hilang sejak Selasa. - Foto ihsan Maritim Malaysia
A
A
A

PARIT BUNTAR - Seorang nelayan dilaporkan hilang selepas turun ke laut sendirian dengan menaiki sampan di perairan Kuala Gula di sini pada Selasa.

Kehilangan mangsa yang dikenali sebagai Ch'ng Poh Chuan, 71 disedari ahli keluarganya selepas dia tidak pulang ke rumah.

Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pada jam 9.30 malam selepas menerima laporan polis mengenai kejadian itu.

"Berdasarkan laporan, mangsa keluar ke laut sekitar jam 11 pagi dengan menaiki sampan dengan nombor pendaftaran PKS 3033.

"Barang-barang peribadi mangsa telah ditemui terapung dan tersangkut di sebuah sangkar ikan di perairan terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, operasi dibahagikan kepada tiga sektor merangkumi keluasan 59.56 batu nautika persegi.

"Antara aset yang diatur gerak oleh Maritim Malaysia adalah Bot Maritim Kilat 9 bersama Polis Marin, Jabatan Perikanan dan komuniti nelayan setempat.

"Pangkalan hadapan operasi diaktifkan di Jeti Pasukan Polis Marin Kuala Kurau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Sharenliza berkata, pada operasi itu, pasukannya turut menerima laporan penemuan mayat seorang lelaki yang terapung di perairan Tanjung Piandang sekitar jam 10.15 malam.

"Pasukan digerakkan ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja-kerja mengangkat mayat.

"Mayat berkenaan bagaimanapun bukanlah individu yang dicari, malah tiada dokumen atau identiti ditemukan. Mayat dibawa untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan penduduk untuk mengambil langkah-langkah keselamatan sekiranya mahu melakukan aktiviti di laut.

"Langkah keselamatan tersebut seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).

"Sebarang kecemasan boleh menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919," katanya.