Azhar tolak usul Anwar mahu bahas Kertas Pandora

Azhar Azizan Harun ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen, pada Rabu. - Foto Bernama
Azhar Azizan Harun ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menolak usul Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membahaskan mengenai pendedahan Kertas Pandora di Dewan Rakyat.

Azhar mendapati ia tidak perlu disegerakan kerana mesyuarat persidangan di Dewan Rakyat didahulukan dengan aturan mesyuarat.

“Dalam memutuskan sama ada untuk membenarkan atau tidak membenarkan usul tersebut, saya terpaksa membuat keputusan mengenai tiga elemen. Pertama, berkepentingan awam. Kedua, ia hendaklah disegerakan dan ketiga, mengenai sesuatu perkara tertentu.

“Saya bersetuju bahawa perkara itu ialah sesuatu yang tertentu. Kedua, ialah mengenai kepentingan awam, saya setuju dan saya bersetuju sekali bahawa perkara itu perkara penting dan perlu disiasat.

“Tetapi masalahnya ialah saya mendapati bahawa ia tidak perlu disegerakan kerana mesyuarat persidangan kita ini didahulukan dengan aturan urusan mesyuarat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai usul Anwar yang mahu membahaskan mengenai pendedahan Kertas Pandora di Dewan Rakyat pada Rabu.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, apabila aturan mesyuarat itu mahu diketepikan, sesuatu perkara yang hendak dibawa itu perlu disegerakan.

“Walaupun perkara itu teramat penting sepertimana yang dinyatakan oleh Ketua Pembangkang, tidak semestinya ia perlu disegerakan (di samping) perkara itu berterusan dan boleh dibangkitkan pada bila-bila masa sahaja,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Azhar berkata, perkara terbabit boleh dibangkitkan menerusi prosedur-prosedur lain seperti soalan menteri, soalan jawab lisan dan siasatan terbuka.

“Salah satunya cadangan siasatan terbuka oleh Suruhanjaya Diraja. Salah satu cara lagi kita ada sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas.

“Salah satu Jawatankuasa Pilihan Khas itu ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Ekonomi yang merangkumi Kementerian Kewangan.

“Saya rasa lebih sesuai sekiranya perkara ini dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut dan apa-apa Jawatankuasa Pilihan Khas lain berkaitan untuk didalami lebih teliti dan jangka masa yang panjang,” jelasnya.

Di samping itu, Azhar turut menjelaskan pendedahan Kertas Pandora itu adalah menerusi laporan-laporan akhbar berdasarkan kepada pembocoran maklumat dari beberapa agensi.

“Setakat yang kita tahu tentang Kertas Pandora ini ialah melalui laporan akhbar dalam talian dan sebagainya.

“Di dalam Peraturan 23(1)i, sesuatu pertanyaan yang ditanya oleh seseorang ahli majlis (Parlimen), tidak boleh dikeluarkan berkenaan betul atau tidak penerangan-penerangan dalam surat khabar. Itu masalahnya 23(1)i.

“Sekiranya saya baca peraturan ini bersekali 18(7)c, itu pun satu kekangan peraturan yang saya ada. Saya akui perkara ini penting tetapi saya mempunyai kekangan peraturan. Jadi saya syorkan agar dapat mengambil prosedur yang lain,” katanya.