Projek TSK berjaya tingkat pendapatan orang asli

Abdul Rahman.- Foto Fail Bernama
Abdul Rahman.- Foto Fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prestasi hasil projek Tanam Semula Komersial (TSK) Orang Asli yang dibangunkan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) serta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) berjaya memberi pulangan pendapatan dalam bentuk dividen yang secara puratanya dapat menampung sara hidup peserta.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, sejak 2016 hingga April 2021, purata bayaran dividen kepada para peserta adalah RM600 setiap bulan iaitu melepasi sasaran ditetapkan.

Beliau berkata, terdapat 127 kebun orang asli dengan keluasan 16,793.65 hektar telah menyertai program pembangunan Risda yang menerima bantuan TSK dan diuruskan oleh syarikat milikan Risda iaitu Risda Plantation Sdn Bhd (RPSB).

"Sebanyak 94 projek masih diuruskan oleh RPSB iaitu di Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Johor, Selangor dan Kelantan.

“Sehingga tahun 2021, sejumlah 82 projek telah berhasil dengan keluasan 9,364.37 hektar manakala 12 projek lagi masih dalam peringkat pembangunan dengan keluasan 1,640.34 hektar," katanya menjawab soalan Senator Datuk Ajis Sitin pada persidangan Dewan Negara di sini pada Rabu.

Ajis ingin tahu kedudukan ladang-ladang TSK Orang Asli yang dibangunkan oleh Risda dan Felcra yang bertujuan meningkatkan pendapatan isi rumah orang asli kepada sekurang-kurangnya RM450 sebulan dan sama ada kerajaan berpuas hati bahawa program tersebut telah mencapai matlamat ditetapkan.

Selain itu, Abdul Rahman berkata, Felcra Berhad juga telah memajukan 29 Rancangan orang asli seluas 5,550.31 hektar yang dapat memberi manfaat kepada 2,204 peserta orang asli di Johor, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak.

Beliau berkata, daripada 29 projek itu, sembilan daripadanya dalam peringkat tanam semula manakala 20 lagi telah berhasil dan berupaya mengagihkan dividen kepada peserta orang asli. - Bernama

Artikel Berkaitan: