Perancis, Belgium perlu berlangsung penuh semangat kesukanan

Deschamps. - Foto Tibor Illyes/Pool via AP
Deschamps. - Foto Tibor Illyes/Pool via AP
A
A
A

BIARPUN menjangkakan saingan sengit ketika berdepan Belgium bagi aksi separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA pada awal pagi Jumaat, pengendali Perancis, Didier Deschamps mengharapkan kedua-dua pasukan beraksi dengan penuh semangat kesukanan.

Menurut Deschampas, kedua-dua pasukan perlu saling hormat menghormati antara satu sama lain di sepanjang perlawanan dalam usaha memastikan aksi separuh akhir berkenaan berlangsung dengan lancar.

“Perlawanan ini akan menjadi perlawanan yang melibatkan saingan dari segi fizikal, teknik dan juga taktikal.

“Bagaimanapun, saya tetap mengharapkan pemain kedua-dua pasukan dapat mempamerkan aksi yang penuh dengan semangat kesukanan.

“Jujur, saya menghormati pasukan Belgium serta jurulatih, Roberto Martinez dan diharapkan kesemua pemain juga begitu,” katanya.

Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada aksi separuh akhir saingan Piala Dunia 2018 lalu yang menyaksikan Perancis menang 1-0.

Selain itu, Belgium tidak pernah menewaskan Perancis dalam mana-mana saingan kompetitif sejak kelayakan Piala Dunia 1981 lalu.

Sementara itu Deschamps mengingatkan kesebelasan pemainnya agar sentiasa berwaspada dengan corak taktikal Belgium pada perlawanan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Belgium sudah pasti akan memberikan tentangan sengit di sepanjang perlawanan dalam usaha mencatatkan kemenangan.

“Kita perlu sedar, Belgium adalah pasukan yang berada pada ranking nombor satu dunia ketika ini dan dibarisi pemain berpengalaman yang memiliki 100 caps.

“Selain itu mereka juga agak dominan di benteng pertahanan dan juga pada jentera serangan; oleh itu, kita akan cuba sedaya upaya bagi memberikan saingan kepada mereka nanti,” katanya.