X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

Tindakan bubar DUN Melaka dibuat secara tergesa-gesa: Adly

Adly Zahari
A
A

MELAKA - [DIKEMASKINI] Pakatan Harapan Negeri Melaka berpandangan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali tidak lagi mempunyai kepercayaan majoriti dan tidak wajar menasihat Yang di-Pertua Negeri bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, tindakan membubarkan DUN adalah tindakan terburu-buru sebelum mendengar pandangan wakil rakyat pembangkang.

"PH Negeri Melaka berpandangan bahawa Ketua Menteri yang tidak lagi mempunyai kepercayaan majoriti tidak wajar menasihati TYT Yang di-Pertua Negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Keempat Belas.

"Khususnya dalam keadaan di mana rakyat masih lagi bergelut dengan pandemik COVID-19, malahan Pilihanraya Negeri Sarawak telah ditangguhkan atas alasan yang sama. Ini jelas mempamerkan sikap ketidak bertanggungjawaban Ketua Menteri Kedua Belas," katanya pada sidang akhbar di Graha Amanah di Bukit Katil, pada Rabu.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali tidak wajar memberi nasihat kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas hilang kepercayaan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Beliau turut menyifatkan tindakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam mengumumkan proklamasi pembubaran DUN sebagai tergesa-gesa.

"Tindakan itu tidak wajar kerana ia perlu melihat pandangan majoriti dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak bersama kerajaan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Pembubaran tersebut diumumkan Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam satu sidang media khas pada Selasa di Seri Negeri rentetan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili kerajaan negeri yang mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Dalam perkembangan berlainan, Adly berlakata, PH Melaka menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) bukan keutamaan bagi menyelesaikan kemelut politik yang melanda negeri ini terutamanya ketika negara berdepan pendemik Covid-19,

Sebaliknya kata beliau, keutamaan kepada rakyat perlu difokuskan dengan kesepakatan bagi memastikan kestabilan politik, keselamatan rakyat dan ekonomi.

"Dalam negara berdepan pandemik ini ia akan memberi pelbagai persepsi terhadap mandat yang akan diberikan rakyat.

"Sektor ekonomi baharu saja dibuka selepas kita beralih dalam setiap fasa terutama apabila Melaka turut membuka pintu pelancongan dan keadaan ini akan memberi kesan buruk kepada rakyat," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!