'Vaksin Sputnik V selamatkan saya' - Putin

Vladimir Putin
Vladimir Putin
A
A
A

NOVO-OGARYOVO - Presiden Rusia, Vladimir Putin mendedahkan, beliau tidak jatuh sakit walaupun selepas menjadi kontak rapat kepada individu positif Covid-19 disebabkan vaksin Sputnik V.

Malah, katanya beliau berurusan dengan individu positif itu sepanjang hari baru-baru ini.

"Saya ingin bertanya anda sebagai doktor sekali lagi. Anda tahu bahawa saya telah bercakap dengan orang yang dijangkiti, dengan pekerja yang dijangkiti dan syukur, saya tidak jatuh sakit, belum lagi.

"Saya harap itu tidak akan berlaku. Boleh dikatakan vaksin Sputnik V telah memainkan peranannya," katanya semasa mesyuarat bersama kerajaan Rusia, pada Selasa.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Kesihatan Rusia, Anna Popova berkata, Putin tidak mengalami gejala buruk akibat jangkitan disebabkan keberkesanan vaksin yang tinggi.

"Saya yakin bahawa vaksin yang anda (Putin) gunakan memainkan peranannya dan saya rasa ini adalah perkara paling penting yang melindungi anda (Putin) daripada jangkitan (Covid-19), memandangkan tindak balas imuninasi sangat tinggi," jelasnya.

Putin telah mendapat dos lengkap vaksin Sputnik V pada bulan April lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih mengkaji mengenai vaksin keluaran Rusia itu.

Artikel Berkaitan:

Negara itu merekodkan 25,110 kes baharu Covid-19 dengan 895 kematian baharu.

Kes kematian yang masih tinggi di Rusia disebabkan kadar pengambilan vaksin yang rendah dengan hanya 33.5 peratus daripada 146 juta penduduk telah menerima sekurang-kuranya satu dos manakala hanya 27.4 peratus lengkap divaksin. - Awani