X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

DUN Melaka bubar, episod selepas PRN Sabah akan berulang?

Ab Rauf (kanan) menyerahkan dokumen Proklamasi Pembubaran DUN yang ke-14 kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Melaka, Rudy Rohan Johan.
A
A

KETIDAKTENTUAN politik di Melaka ekoran daripada penarikan sokongan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali akhirnya selesai selepas DUN di negeri itu secara rasminya dibubarkan pada Selasa.

Yang Dipertua DUN Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan bahawa Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju membubarkan DUN negeri itu pada Selasa.

Susulan daripada itu, difahamkan bahawa sebuah pilihan raya negeri (PRN) dijangka diadakan selewat-lewatnya 60 hari bermula daripada tarikh DUN dibubarkan.

Perkembangan tersebut memungkinkan Melaka menjadi negeri kedua yang akan mengadakan PRN ketika tempoh pandemik selepas negeri Sabah pada tahun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dalam kenyataannya pada petang Selasa mengesahkan pihaknya telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker (DUN) Melaka berhubung pembubaran DUN negeri itu.

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut dan tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian.

Menurut Ikmalrudin, sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) dan (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, ia menetapkan bahawa PRN hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN itu.

Situasi terkini yang berlaku terhadap politik negara itu dilihat menyebabkan kegelisahan dalam kalangan rakyat kerana negara ketika ini baru sahaja memasuki fasa pemulihan pandemik dengan kes harian mula menunjukkan penurunan konsisten di samping liputan vaksinasi yang tinggi.

Kerisauan yang dirasai orang ramai itu bukanlah sesuatu yang tidak berasas kerana jika dilihat daripada situasi yang membawa kepada berlakunya PRN Sabah pada tahun lepas, ia juga diadakan selepas negara dilihat berjaya mengawal penularan Covid-19 dengan agak baik.

Mengulas mengenai kebimbangan tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau mengambil maklum kebimbangan rakyat berhubung risiko penularan Covid-19 sekiranya PRN Melaka diadakan.

Ahli Parlimen Bera itu turut menyatakan bahawa beliau percaya SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) akan melaksanakan SOP (prosedur operasi standard) ketat bagi memastikan kawalan dapat dibuat jika PRN tersebut dijalankan.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO juga memaklumkan bahawa beliau menyerahkan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mencari penyelesaian berhubung isu di Melaka itu kerana ia melibatkan isu parti.

Ahmad Zahid ketika berucap di Dewan Rakyat pada Isnin menyatakan beliau berpandangan bahawa adalah baik sekiranya DUN Melaka dibubarkan bagi membolehkan mandat diberikan kepada rakyat memilih kerajaan baharu yang dirasakan laya untuk memimpin negeri itu.

Dalam pada itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari akan menggunakan saluran mahkamah bagi menentukan keabsahan kerajaan sementara negeri Melaka di bawah kepimpinan Sulaiman.

Beliau yang juga ADUN Bukit Katil turut menyatakan bahawa permohonan ADUN Lendu itu dalam membubarkan DUN merupakan sikap tidak bertanggungjawab memandangkan rakyat masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

Pada masa sama, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi kenyataannya pada malam Selasa berharap supaya Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan untuk mengisytiharkan proklamasi darurat di seluruh Melaka bagi tujuan menggantung sementara pelaksanaan pilihan raya di negeri tersebut.

Katanya, langkah sedemikian serupa sebagaimana pengisytiharan darurat yang dilaksanakan di Sarawak bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) digantung dalam tempoh berkenaan sehingga 2 Februari tahun depan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!