Muay Thai: Dua beradik sandaran juara dunia

Adik (tengah) bersama Mohd Arif(kiri) dan abangnya, Iskandar Zulkarnain bakal memikul hasrat negara meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam Kejohanan Muay Thai Sedunia di Pattaya, Thailand bermula 7-18 Mac ini.
Adik (tengah) bersama Mohd Arif(kiri) dan abangnya, Iskandar Zulkarnain bakal memikul hasrat negara meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam Kejohanan Muay Thai Sedunia di Pattaya, Thailand bermula 7-18 Mac ini.
A
A
A

TIGA atlet cilik Muay Thai dari Perak yakin mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas Kejohanan Muay Thai Sedunia bakal disertai mereka di Pattaya, Thailand bermula 7 hingga 18 Mac ini.

Keyakinan itu diperkukuhkan lagi dengan reputasi dua adik-beradik, Iskandar Zulkarnain,15, dan Iskandar Hazriq Mohd Ezry,12, pernah bergelar juara siri jelajah Muay Thai dunia dalam kategori masing-masing di samping Iskandar Hazriq kini menduduki ranking kelima dunia.

Bapa yang bertindak sebagai jurulatih dua beradik itu, Mohd Ezry A'zamin Abdul Wahab,39, berkata, Iskandar Zulkarnain dan Iskandar Hazriq merupakan sandaran pihaknya mencapai sasaran sekurang-kurangnya satu emas, satu perak dan satu gangsa bersama seorang lagi atlet cilik berbakat besar, Mohd Arif Zahari,15.

Menurutnya, Iskandar Hazriq dari Sekolah Kebangsaan(SK) Changkat Jering atau lebih dikenali 'Adik' diyakini mampu memenangi pingat emas pertamanya dalam Kejohanan Muay Thai Sedunia itu berdasarkan rekod pencapaian terkini berada dalam ranking kelima teratas dunia dalam kategori Superkid.

"Saya turut menetapkan anak sulung, Iskandar Zulkarnain yang turut pernah menjuarai kejohanan sama sebelum ini, meraih sekurang-kurangnya pingat perak dalam kategori remaja, manakala Mohd Arif diyakini mampu meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam kategori sama.

"Bagi mencapai sasaran itu, kami sudah menggandakan latihan persiapan kesemua atlet Muay Thai berkenaan, termasuk menganalisis kekuatan dan kelemahan setiap bakal pencabar mereka dalam kejohanan dunia berprestij itu," katanya kepada media dalam majlis perlepasan dan penyerahan Jalur Gemilang kepada tiga atlet cilik Perak ke Kejohanan Muay Thai Sedunia di Pattaya, Thailand di perkarangan SK Changkat Jering, di sini hari ini.

Adik(hadapan, tengah) mengetuai kontinjen atlet cilik Muay Thai Perak menerima Jalur Gemilang diserahkan Ir Megat Shariffudin(empat kanan) sebelum berlepas ke Kejohanan Muay Thai Sedunia di Pattaya, Thailand hari ini.
Adik(hadapan, tengah) mengetuai kontinjen atlet cilik Muay Thai Perak menerima Jalur Gemilang diserahkan Ir Megat Shariffudin(empat kanan) sebelum berlepas ke Kejohanan Muay Thai Sedunia di Pattaya, Thailand hari ini.

Majlis itu disempurnakan Penyelaras Dun Changkat Jering, Ir Megat Shariffudin Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Mohd Ezry A'zamin berkata, di sebalik keyakinan terhadap tiga atlet terbabit, pihaknya turut mengharapkan sokongan berterusan kerajaan negeri dan pusat dari aspek kewangan bagi memastikan kejayaan mereka berterusan dalam sukan Muay Thai di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, dua anaknya terutama Adik memerlukan dana pembiayaan besar bagi memastikan mereka terus mengikuti siri jelajah pertandingan dunia anjuran Persekutuan Muay Sedunia (WMF), lebih-lebih lagi Adik kini menduduki ranking kelima terbaik dunia.

"Dana pembiayaan ini sangat penting kerana Adik dan abangnya tidak boleh tercicir menyertai setiap siri jelajah dunia ditetapkan bagi menjaga kedudukan ranking dikecapi.

"Selepas kejohanan dunia ini, mereka perlu bertandang ke Switzerland bagi menyertai siri jelajah dunia ditetapkan dan sokongan kewangan amat penting bagi mereka merealisasikan hasrat menjadi peninju Muay Thai bertaraf dunia suatu hari nanti," katanya.

Dalam pada itu, Adik ketika ditemui meluahkan keyakinan mampu meraih pingat emas sekaligus meraih kejuaraan Muay Thai Sedunia sulung mengikut jejak abangnya, Iskandar Zulkarnain dalam kategori sama.

"Kejohanan kali ini paling mencabar kerana kami perlu bertanding di negara asal kewujudan sukan Muay Thai iaitu Thailand dan bakal disertai peserta-peserta hebat dari 108 negara di seluruh dunia.

"Di sebalik cabaran itu, saya tidak berasa sebarang tekanan dan yakin mampu mengekal kejayaan untuk negara sebagaimana tahun lalu," katanya.

Bagi abangnya, Iskandar Zulkarnain pula, beliau yakin sasaran pingat perak dalam penyertaan julung kali bagi kategori remaja mampu dicapai berdasarkan latihan persiapan sistematik disediakan bapanya selaku jurulatih.

"Kami pastinya tidak gentar dan akan berjuang habis-habisan meskipun cabaran sengit dijangka datang dari kalangan peserta tuan rumah dan Myanmar," katanya.