Banyak singa atas satu gunung

Bangunan Seri Negeri yang menempatkan pejabat Ketua Menteri dan barisan Exco di Ayer Keroh.- Foto Bernama
Bangunan Seri Negeri yang menempatkan pejabat Ketua Menteri dan barisan Exco di Ayer Keroh.- Foto Bernama
A
A
A

TSUNAMI politik negara nampaknya tidak juga surut walaupun Malaysia baru sahaja bertukar kerajaan Persekutuan yang baharu.

Selepas krisis politik membadai negara pada Ogos lalu, pergolakan kepimpinan nampaknya berlarutan ke negeri-negeri.

Bermula di Negeri Sembilan, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun daripada PKR pada awal September lalu berdepan penarikan sokongan beberapa pemimpin Pakatan Harapan sendiri.

Namun, Aminuddin terselamat daripada ‘serangan’ dalaman itu apabila kepimpinan PKR di peringkat pusat masuk campur menenangkan keadaan.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berdepan nasib berbeza. Ditikam dari belakang oleh rakan parti sendiri. Geng empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka diketuai Datuk Seri Idris Haron nekad merealitikan desas-desus penarikan sokongan pada pagi Isnin.

Tiga lagi ADUN yang lain ialah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas - Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Dalam sidang media khas pada Isnin, Idris menekankan mereka kehilangan kepercayaan kepada Sulaiman berikutan beberapa keputusan kerajaan negeri yang ‘flip-flop’.

“Banyak keputusan kerajaan negeri yang tidak terlaksana (meskipun) sudah diputuskan. Seolah-olah ada dua singa atas satu gunung, jadi menimbulkan keresahan kami,” kata Idris yang juga pemimpin otai Melaka.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan sinis Idris mengenai singa itu dipercayai merujuk kepada Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang dilihat turut mempunyai ‘pengaruh besar’ di Melaka sama seperti Sulaiman.

Dan hakikatnya, sudah pasti Idris sendiri selaku bekas Ketua Menteri selama lima tahun (2013-2018) juga bukanlah calang-calang pemimpin, ibarat ‘singa’ di negeri Hang Tuah.

Yang pasti, baik UMNO, PKR, Bersatu, Pas mahupun Amanah isu banyak singa di atas satu puncak gunung harus ditangani dengan hati-hati oleh ketua-ketua parti.