Cadang tubuh institut Genom, vaksin negara tepat pada masanya

Foto 123rf
Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR- Cadangan penubuhan Institut Genom dan Vaksin Negara adalah tepat pada masanya memandangkan negara kini mempunyai penyelidik pakar dalam bidang itu yang bersedia menyumbang kepakaran dan tenaga untuk menghadapi cabaran pandemik.

Universiti Putra Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata tiga penyelidik vaksin Covid-19 dari universiti itu Profesor Datin Paduka Dr Khatijah Yusoff, Profesor Datuk Dr Mohd Hair Bejo dan Prof Madya Dr Eddie Chia Suet Lin mengalu-alukan cadangan itu dan memaklumkan ramai pakar penyelidik vaksin negara ini dikenali di seluruh dunia.

“Dengan penubuhan Institut Genom dan Vaksin Negara, diharap ia boleh menjadi Pusat Kecemerlangan dalam bidang vaksin bagi mencetuskan kerjasama yang lebih berkesan antara penyelidik dari universiti, institut penyelidikan, swasta dan kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut para penyelidik itu juga menyifatkan pembangunan vaksin Covid-19 di negara ini sebagai contoh yang sangat baik, hasil kerjasama penyelidik dari universiti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dengan institut di bawah Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Usaha penghasilan vaksin Covid-19 buatan Malaysia ini juga akan melibatkan pihak swasta dengan kepakaran dalam penghasilan vaksin yang mematuhi peraturan dan regulasi ditetapkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye turut mengalu-alukan langkah yang diambil Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Datuk Dr Adham Baba untuk membentangkan cadangan kepada Perdana Menteri supaya satu institusi ditubuhkan di negara kita untuk menghasilkan vaksin Covid-19 buat Malaysia yang dinamakan sebagai Institut Genom dan Vaksin Malaysia.

Pada Ahad, Dr Adham memaklumkan (dalam temu bual eksklusif bersama TV3) mengenai penubuhan institut itu yang bakal dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat. - Bernama

Artikel Berkaitan: