Pesara kerajaan ditemukan lemas di pantai Port Dickson

No Image Caption
A
A
A

PORT DICKSON - Mayat seorang pesara kerajaan yang lemas selepas mandi di laut ditemukan di tepi pantai Batu 4 1/2, dekat sini petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Redzuan Goonasagaran Abdullah, 59 tahun.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemukan seorang penginap resort berdekatan dalam keadaan terdampar di tepi pantai itu pada jam 6.30 petang.

“Menurut keluarga mangsa, sebelum kejadian lelaki berkenaan telah keluar dari rumah pada jam 6 petang dengan menunggang motosikal seorang diri untuk mandi di laut kerana badan mangsa berasa gatal,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Aidi Sham berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Port Dickson dan Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima aduan mengenai penemuan mayat berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan mangsa dipercayai telah lemas seorang diri setelah mandi di pantai tersebut.

Laporan bedah siasat Hospital Port Dickson mengesahkan punca kematian disebabkan 'Fatal Drowning'. - Bernama

Artikel Berkaitan: