Pelaburan kualiti bolehkan rakyat nikmati taraf hidup lebih tinggi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) merangkap Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed semasa waktu pertanyaan menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini. - Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) merangkap Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed semasa waktu pertanyaan menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PEKERJAAN dan pelaburan berkualiti tinggi akan membolehkan rakyat Malaysia menikmati taraf hidup yang lebih tinggi dan membolehkan mereka mempunyai simpanan yang lebih banyak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Bagaimana kita merancang untuk membina semula simpanan, ia mempunyai kaitan dengan pendapatan.

“Tiada jalan pintas, kita tidak boleh hanya menambah semula menggunakan sumber kerajaan. Justeru, ia perlu daripada suatu sumber dan sumber itu adalah pekerjaan, pekerjaan yang berkualiti,” katanya pada webinar bertajuk 'Malaysia Economic Direction - What to Expect Next' anjuran UOB Kay Hian Wealth Advisors pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai cara untuk menangani kadar simpanan rakyat Malaysia yang rendah, terutamanya mereka yang telah mengeluarkan wang daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka semasa pandemik Covid-19.

“Itu sebabnya pelaburan akan memainkan peranan yang penting, bukan hanya kepada pelabur asing tetapi juga domestik.

“Kita perlu lebih agresif dalam menarik pelaburan berkualiti,” katanya, merujuk kepada kejayaan lepas di negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Johor, dan Sarawak apabila pelbagai sektor seperti elektrik dan elektronik serta minyak dan gas yang telah berkembang pesat.

“Secara ringkasnya, kita perlu meningkatkan kemahiran, membawa masuk pelaburan berkualiti, perlu melatih lebih ramai pekerja, kita perlu keluar daripada operasi dengan gaji rendah, ini juga mempunyai kaitan dengan gaji minimum,” katanya.

Pertumbuhan pendapatan juga menjadi faktor penting untuk memastikan Malaysia dapat mencapai 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera berbanding 17.2 peratus pada 2019, katanya, sambil menambah ia dapat dilakukan dengan menyimpan melalui institusi Bumiputera seperti Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Lembaga Tabung Haji serta institusi pembangunan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Artikel Berkaitan:

“Sekali lagi, untuk berbuat demikian, kita perlu meningkatkan pendapatan mereka dengan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka, supaya mereka dapat menyimpan lebih banyak dalam dana seperti ASB (Amanah Saham Bumiputera) atau Tabung Haji,” katanya. - Bernama