Proton jual 10,380 unit kereta pada September

Jualan kenderaan utiliti sukan (SUV) terus kekal utuh dengan kedua-dua model mengungguli segmen masing-masing dengan 2,431 unit Proton X50 diserahkan pada September manakala jualan Proton X70 sebanyak 1,577 unit. - Foto 123rf
Jualan kenderaan utiliti sukan (SUV) terus kekal utuh dengan kedua-dua model mengungguli segmen masing-masing dengan 2,431 unit Proton X50 diserahkan pada September manakala jualan Proton X70 sebanyak 1,577 unit. - Foto 123rf
A
A
A

JUALAN kenderaan Proton Holdings Bhd (Proton) sebanyak 10,380 unit pada September, membolehkannya kekal di tempat kedua dari segi jualan automotif di negara ini.

Dalam kenyataan, katanya, pegangan pasaran pada bulan tersebut dijangka sebanyak 23.9 peratus, berdasarkan anggaran Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) sebanyak 43,500 unit.

“Secara keseluruhan, pegangan pasaran bagi 2021 berada pada 23 peratus berbanding angka penutup sebanyak 20.7 peratus pada tahun lepas.

“Prestasi jualan Proton pada September dipacu oleh jualan Proton Saga, dengan 3,907 unit sedan segmen A itu dijual pada bulan lepas, satu pencapaian yang bukan sahaja menerajui segmennya, tetapi juga membolehkan model paling popular syarikat menduduki tempat teratas bagi jualan model secara individu,” katanya.

Menurut Proton, jualan kenderaan utiliti sukan (SUV) terus kekal utuh dengan kedua-dua model mengungguli segmen masing-masing dengan 2,431 unit Proton X50 diserahkan pada September manakala jualan Proton X70 sebanyak 1,577 unit.

“Secara keseluruhan, 27,312 unit SUV telah dijual oleh syarikat pada 2021, bersamaan 37.4 peratus jualan keseluruhan tahunan syarikat sebanyak 73,017 unit,” katanya.

Sementara itu, menurut syarikat tersebut, model Persona dan Iriz 2022 baharu pula mencatatkan jualan bulan pertama yang memberangsangkan.

“Walaupun bahagian pengeluaran terkesan oleh kekurangan bekalan komponen, Proton masih mampu untuk menyerahkan 1,440 unit Persona dan 749 unit Iriz, yang juga menampilkan varian Iriz Active,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata, situasi kini bertambah baik, tetapi kekurangan bekalan cip dan komponen lain adalah isu yang tidak akan selesai dalam masa yang singkat.

“Oleh itu, kami perlu berhati-hati apabila membuat anggaran jualan kerana kapasiti pengeluaran tertakluk kepada perubahan semasa.

“Jualan adalah kukuh bagi Proton pada September dan kami amat berpuas hati dengan pencapaian baik itu.

“Kami sebenarnya mampu untuk menjual lebih daripada 10,380 unit yang dicapai, tetapi konteks harus diberikan kepada prestasi kami kerana Malaysia dalam proses pemulihan pandemik yang masih lagi memberi kesan kepada pembekal industri automotif,” katanya. - Bernama