Jerman akan henti guna biofuel berasas minyak sawit 2023

Jerman akan menghentikan penggunaan biofuel berasaskan minyak sawit pada tahun 2023. - Foto 123rf
Jerman akan menghentikan penggunaan biofuel berasaskan minyak sawit pada tahun 2023. - Foto 123rf
A
A
A

SEKATAN Jerman terhadap minyak sawit adalah berdasarkan kepada maklumat palsu dan secara sengaja tidak merujuk kepada fakta alam sekitar, kata Palm Oil Monitor dalam catatan di laman webnya.

Menteri Alam Sekitar, Pemuliharaan Alam dan Keselamatan Nuklear Jerman, Svenja Schulze baru-baru ini mengumumkan bahawa Jerman akan menghentikan penggunaan biofuel berasaskan minyak sawit pada tahun 2023.

"Kerajaan Jerman telah mencapai tujuan utama dan sikap hipokrit ini sungguh menakjubkan. Ia mengalihkan perhatian daripada kemusnahan dilakukan negara itu sendiri terhadap tanah gambut dan padang rumput untuk menghasilkan biogas.

"Biomas hutan di Eropah adalah sumber bahan api yang dominan dalam Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED) Kesatuan Eropah (EU) dan Jerman menghasilkan lebih banyak tenaga dari biomas berbanding negara lain di EU.

“Ini sebabnya mengapa penggubal undang-undang Jerman mengkritik dan menyekat minyak sawit," katanya.

Palm Oil Monitor juga berkata, para pemimpin di Berlin tidak menghiraukan penurunan secara dramatik kadar penebangan hutan di Indonesia ketika ini berada pada paras terendah sebanyak 75 peratus.

Fakta ini telah disahkan oleh laporan World Resources Institute dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai keadaan hutan di seluruh dunia, katanya.

Ia juga menyatakan bahawa Canselor Jerman, Angela Merkel pernah mengunjungi Malaysia dan Indonesia pada tahun 2016 dan menunjukkan bahawa Jerman tidak mempunyai rancangan untuk melakukan diskriminasi terhadap minyak sawit. - Bernama

Artikel Berkaitan: