Eksport sektor pertanian meningkat RM3.5 bilion sepanjang RMK11

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, yang juga Ahli Parlimen Beluran ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini.- Foto Bernama
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, yang juga Ahli Parlimen Beluran ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

JUMLAH eksport sektor pertanian negara menunjukkan lonjakan sebanyak 11.58 peratus atau RM3.5 bilion sepanjang tempoh Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) apabila merekodkan RM33.7 bilion eksport pada 2020 berbanding RM30.2 bilion pada 2014.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, daripada jumlah keseluruhan eksport pertanian dianggarkan 70 peratus adalah produk diproses dan selebihnya produk yang belum diproses.

Bercakap pada sesi penggulungan RMK12 di Dewan Rakyat pada Selasa, Ronald berkata, buah-buahan tropika antara komoditi tertinggi dieksport dengan nilai RM1.34 bilion pada 2020.

“Berikutan sambutan yang hebat dan nilai tinggi di pasaran luar negara, MAFI menggalakkan eksport buah terutamanya buah-buahan yang tahap sara diri telah lebih 100 peratus dan berkualiti tinggi sama ada dalam bentuk mentah, diproses secara minimum atau diproses menjadi produk,” katanya.

Ronald berkata, lima jenis buah tempatan yang mempunyai nilai eksport tertinggi tahun lepas ialah durian (RM74 juta), tembikai (RM66 juta) nanas (RM52 juta), pisang (RM32 juta) dan betik (RM30 juta).

“Sejumlah 32,789 metrik tan buah-buahan yang telah diawet bernilai RM829 juta dan 20,251 metrik tan jus buah-buahan dan sayur-sayuran yang bernilai RM90 juta telah dieksport pada 2020,” katanya.

Berhubung tanah terbiar, Ronald berkata, seluas 10,367 hektar tanah terbiar seluruh negara telah dibangunkan bagi tempoh 2007 hingga 2020 melibatkan 8,179 pengusaha dengan jumlah peruntukan sebanyak RM111 juta.

Tanah-tanah itu kata beliau, dibangunkan dengan pelbagai tanaman seperti buah-buahan, padi, kelapa dengan jumlah pengeluaran 250,000 metrik tan dan nilai RM214.5 juta.

Artikel Berkaitan:

Di bawah RMK12 MAFI juga katanya telah mengemukakan 37 permohonan pembangunan projek pertanian yang boleh dimanfaatkan petani untuk membangunkan tanah-tanah pertanian termasuk tanah terbiar menerusi pelbagai jenis tanaman.

Dalam pada itu menjawab celahan Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) berhubung perkembangan Operasi Naga, Ronald berkata, operasi penguatkuasaan untuk apa jua pelanggaran terhadap akta perikanan merupakan tindakan berterusan yang dijalankan oleh MAFI bersama agensi penguat kuasa yang lain. - Bernama