Thailand: Kes Covid-19 turun bawah 10,000

Sejak April tahun ini Thailand bergelut dengan penularan Covid-19 terburuk, mencatatkan kes harian tertinggi sebanyak 23,418 pada 13 Ogos dan korban paling ramai iaitu 312 orang pada 18 Ogos. - Foto 123rf
Sejak April tahun ini Thailand bergelut dengan penularan Covid-19 terburuk, mencatatkan kes harian tertinggi sebanyak 23,418 pada 13 Ogos dan korban paling ramai iaitu 312 orang pada 18 Ogos. - Foto 123rf
A
A
A

BANGKOK - Thailand mencatat 9,869 kes baharu Covid-19, dua hari berturut-turut di bawah 10,000, menjadikan jumlah jangkitan dalam negara sebanyak 1,657,231.

Dalam tempoh 24 jam, Thailand merekodkan 92 kematian termasuk tiga warga Myanmar, mengumpul keseluruhan korban sebanyak 17,203 orang sejak pandemik dikesan Januari tahun lalu.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) dalam satu kenyataan memaklumkan Bangkok mencatat kes baharu tertinggi sebanyak 1,244 kes.

"Kes baharu di empat wilayah selatan terus meningkat dengan Pattani mencatatkan 530 kes, Songkhla (468), Narathiwat (461) dan Yala (431), mengumpul 1,890 kes baharu dan tiga kematian," menurut kenyataan itu.

Sejak April tahun ini Thailand bergelut dengan penularan Covid-19 terburuk, mencatatkan kes harian tertinggi sebanyak 23,418 pada 13 Ogos dan korban paling ramai iaitu 312 orang pada 18 Ogos.

Sementara itu, Thailand akan memperoleh 400,000 dos vaksin Covid-19 AstraZeneca dari Hungary ketika kerajaan meningkatkan usaha vaksinasi bagi mencapai 70 peratus penduduknya divaksin pada Disember tahun ini.

Jurucakap Thanakorn Wangboonkongchana berkata mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha pada Selasa meluluskan cadangan untuk mendapatkan 400,000 dos vaksin AstraZeneca.

Selain itu, katanya, kabinet juga bersetuju untuk menerima sumbangan 100,000 dos vaksin Pfizer-BioNTech dari Iceland dan 356,1000 dos vaksin AstraZeneca dari Jerman.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, Thailand telah memberikan sekitar 56 juta dos vaksin Covid-19 sejak program vaksinasi bermula pada 28 Februari. - Bernama