X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Piala Thomas: Malaysia fokus kepada Jepun selepas England tarik diri

Mohamad Norza
A
A

SELEPAS England tiada lagi dalam percaturan, pasukan badminton lelaki kebangsaan akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada Jepun ketika pusingan terakhir Piala Thomas bermula di Ceres Arena, di sini pada Sabtu (9 Oktober).

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, bagaimanapun berkata, mereka tidak akan menyemak semula sasaran suku akhir pasukan itu walaupun England tarik diri.

Persatuan Badminton England menerusi kenyataan ringkas di laman web mereka malam tadi, mengumumkan penarikan diri daripda kejohanan berprestij itu berikutan tiga daripada empat pemain perseorangan pilihan mengalami kecederaan, menyebabkan mereka ‘tidak dapat membariskan pemain kompetitif’ untuk kejohanan itu.

Penarikan diri pada saat akhir itu menyaksikan Kumpulan D kini dihuni naib juara 2018, Jepun, Malaysia dan Kanada. Dua pasukan teratas dari setiap kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati.

Sambil melahirkan rasa simpati kepada pasukan Inggeris, Mohamad Norza berkata beliau mahu pemain muda negara meneruskan momentum baik daripada kejayaan meraih gangsa di kejohanan Piala Sudirman di Vantaa, Finland baru-baru ini.

“Kami rasa penarikan diri England bukan satu kelebihan besar untuk Malaysia, jadi kami akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada Jepun. Kami perlu realistik tentang sasaran kami kerana pemain kami telah menempuh perlawanan yang banyak dalam kejohanan Piala Sudirman.

“Ia mungkin menyebabkan mereka sedikit keletihan dan saya tidak fikir adalah wajar untuk menyemak semula sasaran kami kerana kami tidak mahu memberi tekanan kepada mereka.

“Saya fikir pemain dan jurulatih kami tahu apakah aksi yang diharapkan daripada mereka, bukan hanya oleh pihak BAM, tetapi juga peminat, jadi mereka harus berjuang bersungguh-sungguh,” katanya ketika dihubungi.

“Beliau juga menegaskan bahawa pemain muda, yang kebanyakannya membuat penampilan sulung mereka dalam tiga kejohanan berpasukan - Piala Sudirman, Piala Thomas dan Piala Uber - memikul tanggungjawab yang besar di bahu mereka.

Bagaimanapun, beliau mengharapkan pendedahan itu akan menjadikan mereka pemain yang lebih baik.

“Selain menerima harapan yang tinggi, pemain muda itu juga harus memiliki daya tahan untuk beraksi dalam beberapa kejohanan secara berterusan. Saya sangat yakin pasukan kita dapat melangkah jauh dalam kejohanan kali ini, terutamanya menghadapi Piala Thomas,” kata Mohamad Norza.

Dalam kejohanan Piala Sudirman yang berakhir pada Ahad (3 Okt), pemain muda Malaysia mempamerkan persembahan terpuji, terutamanya apabila berjaya menundukkan musuh tradisi Indonesia 3-2 pada peringkat suku akhir untuk menyamai pencapaian terbaik negara sebelum ini apabila mara ke separuh akhir pada edisi 2009 di Guangzhou, China. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!