Kem tentera Sabah ditambah baik bagi perkasa keberkesanan ATM

Panglima Tentera Darat (PDT) Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain (kanan) menerima buku Daulat daripada pegawai Batalion ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) selepas melancarkannya di padang kawat batalion itu di Kem Kukusan hari ini. - Foto Bernama
Panglima Tentera Darat (PDT) Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain (kanan) menerima buku Daulat daripada pegawai Batalion ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) selepas melancarkannya di padang kawat batalion itu di Kem Kukusan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

TAWAU - Kem tentera di negara ini akan ditambah baik menerusi pembinaan infrastruktur baharu dan menaik taraf infrastruktur sedia ada bagi memperkasa keberkesanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjaga keselamatan dan kebajikan anggotanya.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, antara projek tersebut ialah pembinaan rumah keluarga ATM di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu; Kem Paradise, Kota Belud; dan Kem Kabota, Tawau.

Selain itu, beliau berkata, bagi memperkasa operasi kawalan sempadan di Sabah, dua pos kawalan akan dibina di Kalabakan dan Pensiangan yang dijangka siap pembinaannya pada 19 Mac tahun depan.

"Ia selaras dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen pada 27 September lepas," katanya selepas melancarkan pengoperasian Batalion ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan buku Op Daulat di Kem Kukusan di sini pada Selasa.

Sementara itu, beliau berkata, Batalion ke-26 RAMD yang mempunyai kekuatan 19 pegawai dan 477 anggota lain-lain pangkat akan diperkasakan dengan penambahan anggota serta peningkatan aset tempur sebagai sebuah pasukan infantri yang lengkap.

"Mengikut perancangan, batalion itu akan dipindahkan ke Kem Desa Kencana, Lahad Datu, sebaik kem baharu di sana siap sepenuhnya," katanya.

Zamrose berkata, batalion itu ditubuhkan pada 3 Mac 1980 sebelum dibubarkan pada 1 November 1994, kemudian ditubuhkan semula pada 26 Mei 2014 dan ditempatkan di Kem Kukusan.

Dalam pada itu, beliau berkata, penerbitan buku Op Daulat penting sebagai mengenang jasa dan pengorbanan khususnya anggota yang telah gugur, agar sentiasa dihargai rakyat terutama generasi akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Buku itu turut memaparkan kelemahan-kelemahan yang berlaku serta iktibar yang boleh diambil sebagai pengajaran. Saya berharap setiap anggota tentera membaca buku itu bagi meningkatkan kefahaman terhadap apa-apa yang berlaku dan jadikan pengajaran,” katanya. - Bernama