Nazri sah tak hadir mesyuarat BN Jumaat ini

Mohamed Nazri Aziz
Mohamed Nazri Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengesahkan tidak akan menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN, Jumaat ini.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu membuat keputusan tersebut supaya memberi laluan kepada MCA dan MIC hadir dalam mesyuarat penting tersebut.

“Saya betul-betul mahukan MCA dan MIC hadir Mesyuarat Dewan Tertinggi BN, sekiranya mereka tidak mahu saya hadir, saya tidak akan hadir.

ARTIKEL BERKAITAN: Nazri pelawa MCA, MIC sertai mesyuarat BN Jumaat ini

“Mesyuarat Jumaat ini penting untuk MCA dan MIC mengemukakan resolusi parti mereka sebagai komponen BN. Jika betul MCA mahu bawa usul tinggalkan BN, ia akan diputuskan dalam mesyuarat itu, sebab itu mereka perlu hadir,” katanya ketika sidang media di Menara Datuk Onn di sini hari ini.

Nazri bagaimanapun, menegaskan beliau tidak mahu meletakkan jawatan hanya kerana diasak MCA dan MIC bukannya kesepakatan BN keseluruhannya.

“Saya tidak mahu mengabaikan BN, saya mahu BN terus hidup. Saya benar-benar harap BN tidak akan dibubarkan.

“Posisi saya sebagai Setiausaha Agung BN ini dilantik, dilantik boleh dibuang. Kredibiliti saya dilantik,saya tak boleh letak jawatan, ia akan beri kesan kepada BN. Terserah kepada BN, saya tak datang tapi saya nak MCA dan MIC datang,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, beliau memberitahu akan hadir Mesyuarat Dewan Tertinggi BN Jumaat ini, supaya MCA dan MIC berpeluang bercakap terus di depannya dan beliau akan mempertahankan dirinya.

“Tapi jika dua parti komponen itu enggan hadir jika saya hadir, saya tidak hadir. Mereka boleh bentangkan resolusi dan biar BN buat keputusan.

“Saya akan lakukan apa sahaja untuk menyokong 'perkahwinan' UMNO dan Pas ini, dan berharap ia turut diresapi di dalam BN yang dianggotai masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Dalam pada itu, Nazri turut mempertahankan bahawa beliau tidak pernah melakukan provokasi terhadap mana-mana parti komponen BN.

Beliau sebaliknya, cuma mengutamakan survival politik Melayu, Islam dan masyarakat berbilang kaum.

Terdahulu, dalam satu kenyataan bersama, MCA dan MIC menegaskan tidak akan hadir dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN sekiranya disertai Nazri.

Sementara itu, Nazri dalam reaksi balasnya mempelawa kedua-dua parti komponen BN itu hadir pada mesyuarat, Jumaat ini kerana beliau akan hadir sama.