X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

MKN mainkan peranan penting tentukan PRN Melaka

Foto hiasan
A
A

MELAKA - Majlis Keselamatan Negara (MKN) memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) wajar diadakan atau tidak susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Selasa

Menurut Mantan Speaker DUN Melaka, Datuk Othman Mohamad, selepas pembubaran DUN, dalam tempoh 60 hari perlu diadakan PRN, namun dalam keadaan pendemik ini terpulang kepada MKN untuk memberikan pandangan sama ada pilihan raya itu wajar dilakukan.

"MKN boleh menasihatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melambatkan PRN diadakan kerana keadaan sekarang tidak sesuai ekoran kebimbangan rakyat tentang penularan wabak Covid-19.

"Bagaimanapun, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam boleh mengambil keputusan seperti yang berlaku di Sarawak, dengan meminta nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk istiharkan darurat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Kata Othman, beliau yakin dengan kebijaksanaan Yang di-Pertua Negeri Melaka itu dalam mencari solusi terbaik sama ada mahu diadakan PRN atau sebaliknya.

Jelasnya lagi, sekiranya Agong tidak memperkenankan PRN, maka Agong boleh mengisytiharkan Proklamasi Darurat, sekali gus menggantung PRN daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

"Seperti Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kalau ikut mandatnya, kepimpinannya sudah berakhir pada Jun lalu, tetapi kerana Sarawak diisytiharkan darurat beliau masih menyandang jawatan tersebut.

" Justeru Melaka juga boleh diisytiharkan darurat dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali serta barisan exconya berjalan seperti biasa, jadi terpulang kepada Agong, kalau tidak selamat, bimbang jadi seperti PRN Sabah boleh isytihar darurat di Melaka selama enam bulan, maka PRU selepas tempoh tersebut," katanya.

Dalam pada itu, sekiranya PRN berlaku juga, beliau mencadangkan supaya hari pengundian dilakukan selama dua hari dan parti politik diberi peluang berkempen secara maya.

"Contoh macam orang terima suntikan vaksin Covid-19, andaikan satu kawasan terdapat 800 pengundi jadi hari pertama 400 orang d Dan keesokannya 400 orang," katanya yang berpengalaman sebagai Yang Dipertua DUN Melaka selama 10 tahun.

Yang Dipertua DUN Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini mengumumkan DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa Selasa.

Beliau memaklumkan keputusan yang dibuat oleh Mohd Ali itu dalam satu sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini pada Selasa.

“Sehubungan dengan itu, Yang di-Pertua Negeri telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN Melaka Ke-14,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!