Kerajaan rayu perintah bayar pampasan RM11.2 kepada The Edge

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan mengemukakan rayuan bagi membantah perintah ganti rugi berjumlah lebih RM11.2 juta yang diperoleh syarikat penerbitan The Edge Communications Sdn Bhd kerana kehilangan pendapatan selepas tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung penerbitan dua akhbar harian syarikat berkenaan kerana melaporkan isu berkaitan1MDB.

Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke Yee Ching, yang mewakili Ketua Setiausaha KDN dan Menteri Dalam Negeri selaku responden memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas Datuk Nordin Hassan, hari ini yang turut dihadiri peguam, Raja Eileen Soraya Raja Aman.

Alice berkata, pihaknya akan mendapatkan alasan penghakiman berhubung ganti rugi berkenaan yang diputuskan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Norazlin Othman sebelum rayuan itu didengar.

"Kami mahu melihat bagaimana Timbalan Pendaftar menentukan nilai ganti rugi dan pertimbangan yang dilakukan ketika memutuskan jumlah tersebut untuk dibayar," ujarnya.

Tambahnya pihaknya berpendapat jumlah yang diberikan itu adalah berdasarkan nilai kehilangan hasil.

"Kami berpendapat tiada ganti rugi yang perlu diberikan kerana tindakan tersebut dibuat oleh kerajaan," katanya.

Sementara itu, Raja Eileen berkata, mahkamah kemudiannya menetapkan 26 Mac untuk pengurusan kes selanjutnya.

Pada 17 Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Ketua Setiausaha KDN dan Menteri Dalam Negeri selaku responden membayar ganti rugi pampasan berjumlah RM11,260,350.00 kepada The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selaku pemohon, yang digantung penerbitan selama tiga bulan sejak 27 Julai 2015.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua reponden untuk membayar faedah sebanyak empat peratus bermula 27 Julai 2015 sehingga penyelesaian penuh kes berkenaan.

Pada 9 Ogos 2017, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa The Edge boleh menuntut ganti rugi daripada Menteri Dalam Negeri untuk kerugian yang dialami berhubung penggantungan dua penerbitannya selepas menolak rayuan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Setiausaha KDN untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan The Edge menuntut ganti rugi daripada kedua-dua pihak.

Berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk taksiran ganti rugi.

KDN menggantung permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan dari 27 Julai 2015 berkaitan laporannya mengenai isu 1MDB.

Bagaimanapun perintah itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 21 September 2015, yang membenarkan permohonan The Edge untuk permohonan semakan kehakiman bagi mencabar perintah tersebut.

Mahkamah Tinggi juga memerintahkan penilaian taksiran ganti rugi yang dialami The Edge dibuat.

Pada 30 Ogos 2016, Mahkamah Rayuan menolak rayuan KDN terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bagi penilaian ganti rugi.

The Edge memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 27 Julai 2015 terhadap kedua-dua responden bagi mendapatkan perintah supaya mahkamah menolak keputusan Menteri Dalam Negeri menggantung permit penerbitan kedua-dua penerbitan berkenaan.