X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Kemelut politik Melaka boleh berlaku di Johor

Hasni (dua dari kiri) ketika merasmikan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Jauhar di Kota Iskandar, Iskandar Puteri pada Selasa.
A
A

ISKANDAR PUTERI - Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad tidak menolak kemungkinan keruntuhan kerajaan negeri Melaka juga boleh berlaku di negeri lain termasuk negeri di bawah pentadbirannya.

Katanya, perkara itu boleh berlaku kepada mana-mana negeri terutama negeri yang mempunyai sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan yang tipis.

“Tetapi buat masa ini di Johor tiada masalah,” katanya ketika ditemui pemberita semasa merasmikan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Jauhar di Kota Iskandar, di sini pada Selasa.

Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengambil langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam usaha menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Pada Isnin, empat ADUN kerajaan Melaka menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Mengulas mengenai perkara itu, Hasni berpendapat, seharusnya segala keputusan terutama membabitkan kepercayaan dan sokongan kepada ketua menteri perlu mendapat keabsahan yang sah.

“Saya percaya bahawa apa yang berlaku di Melaka itu perlulah melalui proses di mana keabsahan kepimpinan dibuat dalam DUN. Kalau ada empat yang memutuskan untuk keluar ataupun menarik sokongan maka ia perlu disahkan betul dalam DUN.

“Sekiranya DUN buat keputusan untuk pembubaran pula ia terpulanglah kepada kerajaan Pusat bersetuju atau tidak untuk melakukan Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya.

Kerajaan Johor di bawah pimpinan Hasni mempunyai sokongan majoriti mudah dengan 29 kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi.

Kerajaan Johor mempunyai sokongan daripada UMNO (14 kerusi), Bersatu (12 kerusi), MIC (dua kerusi), Pas (satu kerusi) sementara PH pula terdiri daripada DAP (14 kerusi), Amanah (enam kerusi) dan PKR (tujuh kerusi).


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!