Rosmah nafi lakukan jenayah, mengaku dirinya difitnah

Isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi memberi keterangan dalam prosiding membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bagi sekolah di pedalaman Sarawak.- Foto Bernama
Isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi memberi keterangan dalam prosiding membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bagi sekolah di pedalaman Sarawak.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datin Seri Rosmah Mansor pada Selasa memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam kes projek solar hibrid, malah sepatutnya menjadi saksi pendakwaan terhadap bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.

Rosmah, 69, berkata, Rizal, selaku saksi pendakwaan ke-21 (SP21), dalam keterangan bersumpah di mahkamah, secara terang-terangan mengaku meminta RM25 juta iaitu RM5 juta setahun selama lima tahun daripada Saidi Abang Samsuddin, yang ketika itu pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd dan turut mengaku menerima rasuah sebanyak RM500,000 daripada Saidi.

"Rizal juga mengaku menerima wang rasuah sebanyak RM30,000 daripada Rayyan Radzwill Abdullah (SP16) untuk dibayar kepada Datuk Ahmed Farriq Zainul Abidin (SP9) dan mengaku menerima wang rasuah dalam enam ke tujuh kali daripada Saidi, sekurang-kurangnya RM50,000 setiap kali dan menerima wang rasuah daripada Saidi melalui Rayyan untuk perjalanan umrahnya bersama keluarga.

"Sedangkan saya pula, tidak pernah sama sekali meminta atau menerima sebarang wang rasuah daripada Saidi mahupun Rayyan, baik secara terus atau melalui Rizal, dan saya tidak pernah membuat atau mengaku berbuat demikian.

"Saya ingin merekodkan bahawa saya tidak mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu. Yang Arif, saya telah bersumpah dan saya berikrar bercakap benar di sini di mana saya memang tidak melakukan apa-apa jenayah seperti mana pertuduhan-pertuduhan tersebut. Ini adalah fitnah-fitnah terhadap saya," katanya.

Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu berkata, demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada hari pertama prosiding membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah memberitahu, beliau juga menafikan meminta RM187.5 juta kepada Saidi semasa disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan tidak pernah dengar atau tahu berkenaan jumlah wang itu daripada Rizal, Saidi dan Rayyan.

"Tindakan Rizal mengaitkan saya di sini adalah bertujuan untuk mencemarkan nama baik dan kredibiliti saya sebagai isteri mantan Perdana Menteri, melalui inter alia ‘deal’ yang dibuat olehnya dengan pihak pendakwaan dengan balasan pihak pendakwaan akan menarik balik pertuduhan-pertuduhan ke atasnya dan beliau bertindak menjadi ‘crown witness’ (saksi utama) pihak pendakwaan," kata Rosmah.

Artikel Berkaitan:

Pada 8 Jan 2020, Rizal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada empat tuduhan meminta dan menerima suapan untuk dirinya dan Rosmah berjumlah RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak.

Sementara itu, Rosmah yang tenang semasa memberi keterangan dari tempat duduk saksi berkata, Rizal adalah Penolong Pegawai dengan Tugas-Tugas Khas secara kontrak di Jabatan Perdana Menteri dan bukan seorang pegawai khas kepada beliau.

"Beliau (Rizal) menjalankan tugas sebagai pegawai media di Bahagian First Lady of Malaysia (F.L.O.M) Jabatan Perdana Menteri sepanjang tempoh perkhidmatannya di jabatan itu. Saya ingin tegaskan, saya tidak mempunyai pegawai khas sama sekali," katanya.

Rosmah berkata, Rizal bukanlah seorang pekerja yang cekap dan bertanggungjawab dalam menguruskan kerjanya kerana beliau tidak dapat menulis teks ucapan dengan baik.

"Rizal mempunyai masalah disiplin dalam pekerjaan, di mana beliau seringkali ‘hilang’ semasa bekerja. Saya memang tidak berpuas hati dengan mutu kerjanya, kerana beliau boleh saya gambarkan seperti ‘pahat dengan penukul’, yang bermaksud perlu sentiasa dipantau dan diperiksa untuk mengelakkannya lalai daripada menyiapkan tugasannya.

"Saya juga selalu mendengar rungutan Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod (pegawai khas F.L.O.M) dan pegawai-pegawai lain berkenaan sikap Rizal yang culas dalam pekerjaannya. Saya tidak mempunyai hubungan yang rapat dengan Rizal.

"Komunikasi antara saya dengan Rizal hanya berkenaan urusan kerja sahaja dan kebanyakannya saya akan berurusan dengan Datuk Seri Siti Azizah secara terus," katanya.

Sementara itu, Rosmah berkata, suaminya, Najib pernah memberi peringatan kepadanya agar tidak berjumpa dengan mana-mana kontraktor dan tidak mencampuri urusan beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Jelas Rosmah, beliau juga tidak mahu melayan permintaan Rizal untuk berjumpa dengan Saidi dan Rayyan kerana beliau memang tidak akan membantu mana-mana kontraktor bagi mendapatkan kontrak kerajaan dan tidak akan masuk campur hal berkenaan.

Wanita itu turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah sama sekali menyuruh Rizal berbincang mahupun berusaha mendapatkan apa-apa 'sumbangan politik' daripada Saidi dan Rayyan atau mana-mana individu lain selama tempoh beliau mengenali Rizal.

Pada 18 Februari lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi melalui Rizal sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok. -Bernama