X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Ruang rahsia simpan rokok seludup

Ruang rahsia di bahagian bawah lantai rumah suspek di Kampung Gong Datok, Pasir Puteh digunakan untuk menyembunyikan rokok seludup.
A
A

PASIR PUTEH - Taktik seorang lelaki menyembunyikan 93,200 bekalan rokok seludup bernilai RM69,900 dalam satu ruang rahsia di bawah lantai sebuah rumah di Kampung Gong Datok di sini terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan, Pahang menyerbu kediaman itu awal pagi Selasa.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam penugasan sempadan Malaysia-Thailand pada jam 6 pagi itu, suspek berusia 57 tahun di tahan dan anggota PGA turut merampas wang tunai berjumlah RM58,108 dipercayai hasil jualan rokok itu

"Pemeriksaan di ruang tersembunyi itu turut menjumpai rokok berwarna putih pelbagai jenama berjumlah 93,200 batang yang dianggarkan bernilai RM 69,900,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa.

Sementara itu Azhar memberitahu, serbuan pada jam 3.30 pagi di sebuah rumah di Kampung Gong Kala di sini menjumpai wang tunai disembunyikan dalam tong besi berwarna hitam berjumlah RM15,583 dipercayai hasil jualan rokok seludup.

Sebahagian rokok seludup yang dijumpai disorokkan dalam kereta oleh seorang suspek di Kampung Gong Kala, Pasir Puteh.
Sebahagian rokok seludup yang dijumpai disorokkan dalam kereta oleh seorang suspek di Kampung Gong Kala, Pasir Puteh.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 21 tahun yang mengaku sebagai tuan rumah ditahan dalam serbuan itu.

“Pemeriksaan lanjut dalam sebuah kereta jenis Nissan Sunny yang diparkir di halaman rumah tersebut menjumpai 43,000 batang rokok pelbagai jenama dan rokok kretek pelbagai jenama berjumlah 4,960 batang dianggarkan bernilai RM 36,317,” katanya.

Ujarnya, nilai keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes berjumlah RM187,908 termasuk nilai cukai rokok dianggarkan RM94,626 dan kenderaan RM8,000.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek memperoleh bekalan rokok seludup daripada seorang lelaki di Wakaf Bahru, Tumpat untuk pasaran di sekitar Pasir Puteh.

“Penjualan rokok seludup itu dilakukan melibatkan transaksi dengan individu tertentu sahaja bagi menjaga kerahsiaan manakala bekalan diambil dalam kuantiti kecil sebelum disorokkan dalam ruang rahsia di kediaman masing-masing sebagai lokasi transit,” katanya.

Tambah beliau, mereka yang ditahan dan kesemua barang kes diserahkan ke Balai Polis Bukit Yong, Pasir Puteh untuk siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyeludup rokok,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!