Harga telur ayam di Shah Alam tidak konsisten

Harga telur ayam di Shah Alam didapati tidak konsisten sejak beberapa minggu lalu. (Gambar kecil, dari kiri Fazilah, Kee Yuah)
Harga telur ayam di Shah Alam didapati tidak konsisten sejak beberapa minggu lalu. (Gambar kecil, dari kiri Fazilah, Kee Yuah)
A
A
A

SHAH ALAM - Harga telur ayam di kedai-kedai runcit sekitar kawasan sini didapati tidak konsisten kerana menghadapi penurunan dan peningkatan yang tidak menentu sejak dua minggu lalu.

Tinjauan Sinar Harian pada Selasa di beberapa kawasan di Shah Alam di sini harga telur yang dijual oleh kedai-kedai runcit berkenaan tidak mempunyai harga yang standard dan mempunyai perbezaan yang ketara.

Hasil tinjauan mendapati harga telur ayam berada dalam lingkungan RM10.50 hingga RM12.70 sepapan bagi telur gred B dan C.

Seorang penyelia sebuah pasar mini di Seksyen 30 di sini, Fazilah Mohd Mukhsin berkata, tiada peningkatan harga untuk telur yang dijual di kedainya sepanjang minggu lalu.

Bagaimanapun, dia berkata, harga telur ayam tersebut mengalami kenaikan harga mendadak kepada RM12.50 sepapan pada dua minggu lalu.

Menurutnya, harga yang dijual oleh pembekal kepadanya ialah sebanyak RM11.40 sepapan telur gred B, dan dia tidak mengambil untung yang banyak dengan menjualnya kepada pelanggan sebanyak RM12.50 sepapan.

“Minggu lepas dan minggu ini tiada peningkatan harga dan harga yang dijual oleh pembekal kepada kami ialah RM11.40 sepapan untuk telur jenis gred B.

“Walaupun kadangkala ada turun naik dalam 10 sen atau 20 sen, namun pelanggan tidak merungut tentang perkara tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, salah seorang pekerja kedai runcit di Seksyen 16, di sini, Ha Kee Yuah pula berkata, harga telur ayam gred C yang dibekalkan kepadanya mengalami penurunan sebanyak 60 sen sepapan sejak Isnin.

Ujarnya, harga untuk telur gred A pula menurun daripada RM13.30 kepada RM12.70 sepapan pada hari yang sama.

“Sebelum ini harga telur ayam pernah mencecah hingga RM13.30 pada tiga minggu lalu.

“Tapi sejak itu, harga telur ayam mula turun secara berperingkat sebanyak 10 sen hingga 20 sen sepapan.

“Setiap Isnin, pembekal akan mengemas kini harga baharu untuk telur ayam yang bakal dibekalkan kepada kami,” katanya.

Bagaimanapun, salah seorang pekerja di sebuah kedai runcit lain di Seksyen 16, di sini yang ingin dikenali sebagai Rahman sebaliknya berkata, harga telur ayam yang diperolehnya mula meningkat sejak minggu lalu

Dakwanya, pembekal menaikkan harga dari RM9.80 kepada RM10.50 pada minggu ini, malah ia juga pernah melonjak naik kepada RM10.80 sebelum ini.

“Ada pelanggan yang mengadu harga telur ayam mahal kerana ia merupakan barangan keperluan harian, jadi kalau ia naik mestilah mereka tahu.

“Tapi, kami tetap jual pada harga yang rendah walaupun untung hanya beberapa sen sahaja,” katanya.