PN Melaka sedia runding dengan UMNO elak pertembungan tiga penjuru

Mohd Rafiq Naizamohideen. Foto Facebook
Mohd Rafiq Naizamohideen. Foto Facebook
A
A
A

MELAKA – [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional(PN) Melaka bersedia mengadakan rundingan dengan UMNO bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusinya, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, PN terbuka dalam soal itu, namun terserah kepada UMNO untuk membuat keputusan.

“Jika UMNO tidak mahu, itu hak UMNO. Saya tidak boleh buat keputusan bagi pihak UMNO.

“Saya bercakap selaku pengerusi PN Melaka dan saya sudah berunding dengan Pesuruhajaya Pas dan Pengerusi Gerakan yang mana kita setuju untuk berunding dengan UMNO,” katanya ketika sidang akhbar di Hotel MITC, Ayer Keroh di sini pada Selasa.

Beliau yang juga merupakan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka berkata, apa yang pasti, pertembungan tidak akan berlaku antara Bersatu, Pas dan Gerakan yang berada di bawah gabungan parti PN.

Berkenaan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad menyertai tiga lagi ADUN mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali, beliau berkata, secara automatik keahliannya dalam Bersatu telah tergugur.

Jelasnya, ini kerana mengikut perlembagaan parti Bersatu, mana-mana ahli atau pemimpin yang buat ketetapan bertentangan dengan dasar parti, keahlian mereka akan tergugur secara automatik.

“Bila ADUN Teluk Mas bersama Pakatan Harapan (PH) secara automatik keahliannya tergugur. Tapi bukan atas dasar parti pecat.

Artikel Berkaitan:

“Memecat dan tergugur secara automatik itu adalah berbeza. Keahliannya tergugur kerana tindakannya sendiri bukan parti yang bertindak atasnya,” katanya.

Dalam pada itu ditanya pandangan terhadap Sulaiman, beliau berkata, seperti mana pendirian PN yang dinyatakan sebelum ini, sebagai Pengerusi PN Melaka dan ADUN Paya Rumput, pihaknya menyokong kepimpinan Ketua Menteri itu sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15.

Ujarnya, sepanjang Sulaiman menjadi Ketua Menteri, Bersatu tidak ada sebarang krisis atau permasalahan dengan kepimpinannya dan jika ada perbezaan pendapatan ia akan diselesaikan secara kekeluargaan.

“Setakat saya jadi Exco di bawah beliau, saya tiada masalah dengannya dan saya selesa bekerjasama dengan beliau,” katanya.