'Tiada masalah Azalina pengerusikan Dewan Rakyat'

Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun
A
A
A

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun tidak nampak apa-apa masalah dalam permintaannya agar Datuk Seri Azalina Othman Said mempengerusikan sidang Dewan Rakyat.

Ini kerana, kata Azhar Ahli Parlimen Pengerang itu memaklumkan bahawa pelantikannya sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) bukan berstatus menteri.

“Jadi, beliau bukanlah menjadi sebahagian daripada pihak pentadbiran atau eksekutif. Beliau hanyalah seorang penasihat yang akan menasihati Perdana Menteri, bukan menasihati kerajaan mengikut pendapat, pengetahuan dan kebijaksanaannya.

“Oleh kerana bukan seorang ahli eksekutif, maka saya tidak nampak apa-apa masalah dalam permintaan saya untuk beliau mempengerusikan apa-apa persidangan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) berhubung status Azalina yang mempengerusikan sidang Dewan Rakyat.

Azhar menambah, apabila bercakap mengenai konflik kepentingan, dinamiknya adalah berterusan.

“Jadi, sepanjang mempengerusikan apa-apa persidangan itu, sekiranya beliau tidak perlu membuat apa-apa ‘ruling’ mengenai perkara-perkara yang dinasihati, maka saya rasa beliau tidak mempunyai apa-apa konflik kepentingan.

“Serupalah macam saya. Ramai orang kata saya ada masalah konflik kepentingan dengan Peguam Negara sebab beliau abang saya. Tetapi sekiranya perkara itu dibincangkan, saya boleh mempengerusikannya.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi kalau saya nak buat ‘ruling’, waktu itu konflik kepentingan akan timbul maka saya akan mengecualikan diri. Samalah juga dengan Pengerang (Azalina) sekiranya apa-apa ‘ruling’ perlu dibuat oleh beliau, maka sudah tentu dan saya pasti beliau akan mengecualikan dirinya mempengerusikan waktu itu,” jelasnya.