Pastikan pekerja jalani ujian saringan kendiri sebelum bertugas

Langkawi. - Foto123rf
Langkawi. - Foto123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengusaha premis penginapan di bawah gelembung pelancongan digalakkan melakukan ujian saringan kendiri Covid-19 terhadap semua pekerja sebelum bertugas bagi menjamin keselamatan mereka dan pengunjung, kata Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun.

Beliau berkata, pengusaha premis perlu mengambil iktibar susulan kejadian penularan Covid-19 melibatkan 59 pekerja hotel terkemuka di Langkawi, yang dilaporkan pada Isnin dan sedikit sebanyak melunturkan keyakinan orang ramai untuk bercuti.

“Ujian saringan kendiri ini boleh dilakukan sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi mengelakkan penularan Covid-19 di premis penginapan mereka. Ini juga tidak terkecuali kepada pengusaha-pengusaha pelancongan lain yang secara langsung terlibat dalam gelembung pelancongan.

“Majikan perlulah berkorban sedikit wang dengan membeli kit saringan kendiri bagi menjamin kesihatan pekerja mereka bebas dari Covid-19. Ini merupakan satu tanggungjawab majikan bagi memastikan pekerja mereka selamat untuk bekerja,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Khalid berkata, semua pengusaha pelancongan perlu berganding bahu bagi menjayakan gelembung pelancongan dengan memastikan premis mereka bebas Covid-19 menerusi inisiatif ini untuk meyakinkan pelancong, sekali gus mengelakkan industri pelancongan negara ditutup sekali lagi. - Bernama

Artikel Berkaitan: