X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

Selangor serah kepada polis siasat laporan laman sesawang

Sze Han (depan kiri) melakukan lawatan ke Pasar Awam Pasir Penambang di sini pada Selasa.
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor menyerahkan sepenuhnya kepada polis berhubung laporan yang disiarkan sebuah laman sesawang mendakwa Klang sebagai bandar paling tidak selamat selain miliki kadar keselamatan paling rendah di Asia Tenggara.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, maklumat dalam artikel itu tidak dapat dipastikan kesahihan dan sumbernya.

"Saya tidak pasti sumber (maklumat) dari mana, tetapi saya ada menerima laporan itu dalam aplikasi WhatsApp tetapi tidak mengetahui sumber (maklumat) itu (diperoleh)," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Pasar Awam Pasir Penambang di sini pada Selasa.

Sze Han berkata, pihak polis perlu memberikan penjelasan berhubung laporan itu sekiranya Klang dilaporkan tidak selamat.

"Kita perlu dapatkan ulasan dan komen daripada pihak polis kerana pihak berkuasa terbabit lebih sesuai dalam memberikan pandangan," jelasnya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, polis Selangor menyifatkan dakwaan sebuah laman sesawang yang mendakwa bandar Klang sebagai paling tidak selamat untuk didiami di Asia Tenggara sebagai tidak benar dan mengelirukan.

Pada Isnin, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, laporan tersebut dibuat berdasarkan data yang diperoleh daripada sumber yang tidak sahih dan tidak mewakili seluruh populasi di daerah Klang.

Sebelum ini, kandungan portal berbahasa Inggeris itu menunjukkan Klang berada di tangga pertama sebagai bandar yang tidak selamat dengan kadar keselamatan yang rendah di Asia Tenggara.

Selepas Klang adalah Kuala Lumpur di tangga kedua serta Manila, dan Filipina di tangga ketiga.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!