'Saya telah dijemput, kalau ada isu boleh bawa kepada Speaker'

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu membabitkan Datuk Seri Azalina Othman Said kembali mempengerusikan sidang Dewan Rakyat sekali lagi dibangkitkan ahli Parlimen blok pembangkang.

Perkara itu dibangkitkan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Bharu) yang mempersoal kewajaran Azalina menerima jemputan bagi mempengerusikan persidangan itu memandangkan beliau kini telah dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia).

Jelasnya, keadaan itu dibimbangi akan mewujudkan kejanggalan sekiranya ada isu berkaitan perundangan atau hak asasi manusia membabitkan Perdana Menteri nanti.

"Katakanlah timbul perkara yang membabitkan kedudukan Perdana Menteri dalam perundangan, hak asasi manusia misalnya di mana Yang Berhormat hendak menasihati Perdana Menteri.

"Jadi, sudah tentu ia wujud satu kejanggalan atau boleh kita katakan konflik kepentingan. Jadi saya mohon sedikit ruling dalam perkara ini," katanya.

Tampil menjawab perkara itu, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, beliau dijemput oleh Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat.

"Saya telah dijemput di bawah Perkara 73, kalau Yang Berhornat ada isu atas jemputan (sebagai pengerusi persidangan), (Yang Berhormat) boleh bawa kepada Speaker.

"Sebab saya mengikut arahan. Tidak ada masalah," katanya.

Artikel Berkaitan: