Separuh remaja di Terengganu divaksin

50.7 peratus iaitu 70,073 daripada keseluruhan 138,100 remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negeri ini.- Foto fail Bernama
50.7 peratus iaitu 70,073 daripada keseluruhan 138,100 remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negeri ini.- Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Separuh daripada remaja di Terengganu sudah mendapatkan suntikan dos pertama vaksin Covid-19 sehingga 1 Oktober lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, jumlah itu melibatkan 50.7 peratus iaitu 70,073 daripada keseluruhan 138,100 remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negeri ini.

Beliau berkata, baki seramai 2,736 remaja atau 2 peratus pula direkodkan telah lengkap menerima dua dos vaksin berkenaan.

"Pencapaian ini merupakan kejayaan membanggakan terutama bagi rakyat Terengganu sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dimulakan pada 15 September lalu," katanya menerusi Facebook pada Selasa.

Dalam pada itu, Dr Kasemani berkata, sebanyak 57 sekolah di seluruh negeri dipilih sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) untuk remaja yang beroperasi sejak 21 September lalu hingga Khamis ini.

"PICK Remaja turut dilaksanakan secara 'walk-in' di klinik kesihatan bagi pelajar berasrama penuh dari negeri dan daerah selain Terengganu, individu yang tidak bersekolah selain remaja berumur 12 tahun yang sudah mencapai tarikh lahir.

"Kita harap ibu bapa dapat memastikan anak mereka yang layak hadir mendapatkan dos lengkap vaksin Covid-19," katanya.

Dalam perkembangan sama katanya, seramai 738,839 atau 91.4 peratus populasi dewasa Terengganu mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19 manakala 686,363 atau 84.9 peratus pula lengkap dua dos suntikan.

Artikel Berkaitan: