Lebih RM330 bilion pakej bantuan, rangsangan ekonomi dimanfaatkan

Menteri Kewangan Tengku Zafrul ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen, pada Selasa. - Foto Bernama
Menteri Kewangan Tengku Zafrul ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih RM330 bilion atau kira-kira 62 peratus telah disalurkan daripada lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion, sekali gus memberi manfaat kepada 20 juta rakyat dan 2.4 juta perniagaan setakat 24 September lepas, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menurut beliau, kesemua pakej bantuan dan rangsangan ekonomi itu merangkumi langkah fiskal dan bukan fiskal.

“Kerajaan telah mengambil langkah proaktif dan segera untuk menangani krisis Covid-19, terutama dalam memenuhi keperluan sistem kesihatan awam, membantu rakyat yang terjejas dan menyokong kelangsungan perniagaan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) mengenai jumlah yang dibelanjakan berbanding dengan yang diperuntukkan sejak pandemik Covid-19 melanda Malaysia.

Oleh kerana situasi Covid-19 bersifat dinamik, adalah wajar bagi kerajaan untuk sentiasa berwaspada terhadap perkembangan semasa dan berdasarkan Belanjawan 2021, unjuran defisit adalah 5.4 peratus, katanya.

“Namun, kerajaan telah mengambil pendirian dasar fiskal yang mengembang dalam mengatasi krisis Covid-19. Oleh itu, defisit untuk tahun ini dijangka mencecah antara 6.5 hingga 7.0 peratus,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, setakat 15 September, daripada jumlah peruntukan RM322.5 bilion di bawah Belanjawan 2021, RM216 bilion atau lebih 66 peratus telah dibelanjakan seperti yang dirancang.

Bagi menampung suntikan fiskal tambahan khusus untuk menangani krisis Covid-19, kerajaan telah membiayai langkah pakej rangsangan ekonomi melalui Kumpulan Wang Covid-19 (KWC), katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, setakat pertengahan September 2021, nilai keseluruhan yang telah dibelanjakan di bawah KWC telah mencecah RM60 bilion, atau lebih daripada 90 peratus siling semasa KWC bernilai RM65 bilion.

“Mengambil kira keperluan tambahan, kerajaan akan membentangkan dalam dewan yang mulia ini untuk meningkatkan lagi had siling KWC daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion.

“Ini bertujuan membiayai bantuan dan sokongan tambahan bagi tahun ini dan selanjutnya,” katanya.

Tengku Zafrul memberitahu, kerajaan juga telah menyediakan peruntukan sebanyak RM33 bilion sebagai bantuan tunai langsung kepada rakyat. -Bernama