Suami, isteri maut ditetak anak sendiri

(Gambar Kiri) Anggota polis sedang mengangkat mayat mangsa yang terlibat dalam kejadian bunuh pada malam Isnin. (Gambar kanan) Lokasi kejadian yang mengakibatkan pasangan suami isteri maut. Sumber gambar: IPD Lipis
(Gambar Kiri) Anggota polis sedang mengangkat mayat mangsa yang terlibat dalam kejadian bunuh pada malam Isnin. (Gambar kanan) Lokasi kejadian yang mengakibatkan pasangan suami isteri maut. Sumber gambar: IPD Lipis
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Sepasang suami isteri mati dikelar di bahagian leher dengan senjata tajam dipercayai dilakukan oleh anak lelaki mereka dalam kejadian di Kampung Kemahang Hulu, Lipis, tengah malam Isnin.

Mayat bapa suspek, 68, dan ibunya, 64, ditemui selepas penduduk kampung menahan anak pasangan warga emas itu dalam keadaan bogel dan berlumuran darah di jalan utama kira-kira 150 meter dari lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejadian itu dipercayai berlaku sekitar jam 10.30 malam.

Menurutnya, polis menerima laporan mengenai kejadian pada 11.55 malam dan siasatan awal mendapati suspek berusia 31 tahun dikatakan menggunakan golok untuk mengelar leher dan menetak kedua-dua mangsa.

"Kejadian dipercayai berlaku ketika suspek dan bapanya berbual di ruang tamu rumah mengenai ilmu agama dan ketuhanan sebelum lelaki terbabit menyerang mangsa dan bertindak mengambil golok di biliknya.

"Suspek kemudiannya menetak leher bapanya. Ibu suspek yang terkejut dengan kejadian itu cuba menghalang tindakan itu tetapi turut menjadi mangsa apabila ditikam dan ditetak pada leher dan bahagian badan lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mohd Yusri berkata, mayat pasangan warga emas itu ditemui penduduk kampung yang bergegas ke rumah terbabit selepas menahan suspek.

“Bapa suspek ditemui terbaring dan berlumuran darah di dalam rumah manakala mayat ibunya ditemui berhampiran pagar rumah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Tambah beliau, berdasarkan maklumat, bapa suspek bekerja sebagai pegawai keselamatan manakala ibunya pesara penyelia asrama.

"Suspek pula tidak bekerja dan dipercayai terlibat dalam kegiatan atau ajaran sesat sehingga menyebabkan hilang pertimbangan dan membunuh ibu dan bapanya sendiri," katanya.