'Kami selesa, selamat tinggal di Klang'

Pihak polis sentiasa menjalankan rondaan di sekitar kawasan tumpuan di bandar Klang.
Pihak polis sentiasa menjalankan rondaan di sekitar kawasan tumpuan di bandar Klang.
A
A
A

KLANG - Rata-rata penduduk di daerah ini menempelak laporan sebuah laman sesawang yang mendakwa bandar Klang sebagai paling tidak selamat untuk didiami di Asia Tenggara sebagai tidak tepat dan meragukan.

Pengerusi penduduk Taman Sentosa, Anita Md Idris, 46, berkata, apa yang dilaporkan oleh laman sesawang tersebut tidak benar serta mengelirukan.

"Saya terkejut dengan apa yang dilaporkan oleh laman sesawang tersebut, sudah berpuluh tahun saya tinggal di kawasan Klang ini. Bagi saya, suasana di sini tidak seperti yang didakwa.

Anita
Anita

"Keadaan di Klang pada saya terkawal, kami di sini tidak mempunyai masalah atau bimbang untuk keluar rumah sama ada siang atau malam," katanya.

Menurutnya, hubungan penduduk dengan pihak polis juga sentiasa dalam keadaan terbaik.

"Kami sentiasa bekerjasama dengan pihak polis terutamanya dalam isu melibatkan keselamatan.

"Bagi saya keselamatan dan keamanan di Klang ini pada tahap yang baik dan tidak ada isu melibatkan soal jenayah yang membimbangkan kami di sini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penduduk, Alex Chew, 30, berkata, laporan laman sesawang tersebut sama sekali tidak tepat dan boleh dipertikaikan.

Alex Chew
Alex Chew

"Pelik dengan apa yang dilaporkan oleh laman sesawang berkenaan, itu tak betul sama sekali. Sepatutnya laporan itu perlu disertakan dengan fakta yang tepat.

"Mereka tidak tinggal di sini dan melaporkan sesuatu yang tidak benar, ini perbuatan yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, G Gunaraj berkata, pihaknya sama sekali menafikan apa yang dilaporkan oleh laman sesawang berkenaan yang menyatakan Klang antara bandar tidak selamat.

"Ini tindakan yang tidak seharusnya berlaku, sepatutnya mereka mengkaji terlebih dahulu sebelum sebarang laporan dikeluarkan.

"Tambahan pula dengan situasi Covid-19 sekarang ini, yang mana rakyat tengah bangkit, namun secara tiba-tiba ada laporan sebegini secara langsung ini memberikan kesan kepada semua," katanya.

Menurutnya, di Klang semua pihak memberikan peranan dalam memastikan bandar ini selamat dan selesa didiami.

"Semua pihak termasuk pihak polis sentiasa melakukan pemantauan dan tugas mencegah jenayah.

"Kadar jenayah pun setahu saya dari hari ke hari sentiasa turun dan tidak membimbangkan seperti mana dilaporkan laman sesawang tersebut," katanya.

Pada Isnin, polis menyifatkan dakwaan sebuah laman sesawang yang mendakwa bandar Klang sebagai paling tidak selamat untuk didiami di Asia Tenggara sebagai tidak benar dan mengelirukan.

Laman sesawang tersebut meletakkan Klang di tempat ketiga sebagai paling tidak selamat di Asia di belakang dua bandar di negara bergolak iaitu Kabul, Afghanistan dan Damascus, Syria.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, laporan tersebut dibuat berdasarkan data yang diperoleh daripada sumber yang tidak sahih dan tidak mewakili seluruh populasi di daerah Klang.

"Kaedah kajian secara kualitatif dan kuantitatif serta bilangan responden juga tidak menggambarkan atau mewakili keseluruhan masyarakat di daerah Klang.

"Maklumat yang terkandung dalam artikel yang diterbitkan oleh laman Numbeo berkaitan indeks jenayah dan indeks keselamatan tidak dapat dipastikan kesahihan dan sumbernya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Arjunaidi berkata, daerah Klang mencatatkan kadar jenayah sebanyak 163.68 kes bersamaan lapan peratus di bawah nilai ambang untuk tempoh 1 Januari hingga 30 September lalu.