Wanita ditahan kes tipu jual beli kuih tradisional

Suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung penipuan jual beli kuih tradisional.
Suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung penipuan jual beli kuih tradisional.
A
A
A

BEAUFORT - Seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung penipuan urusan jual beli kuih tradisional melibatkan kerugian lebih RM13,000.

Wanita berusia 43 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort pada jam 7 malam, Isnin.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yussof Zaki Mat Yaccob berkata, tangkapan dibuat susulan satu laporan polis yang dibuat oleh seorang pengadu.

Menurutnya, pada 3 September lalu pengadu telah berbincang dengan suspek berhubung pembelian serta pembuatan kuih tradisional dengan tawaran membuat kuih bagi 10,000 balang berharga RM58 untuk satu kilogram.

"Pengadu yang berminat dengan tawaran itu kemudian memindahkan wang secara berperingkat sebanyak RM13,610 ke akaun milik suspek untuk pembelian bahan membuat kuih serta balang.

"Bagaimanapun, sehingga laporan polis dibuat, bahan dan balang berisi kuih tradisional belum diterima," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Yussof Zaki berkata, hasil siasatan awal mendapati kedua-duanya memang ada berurusan dan suspek menerima wang bagi urusan jualan serta tawaran membuat kuih berkenaan.

"Sehubungan itu, tangkapan dibuat terhadap suspek untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

"Permohonan reman dibuat hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.