Tingkat kesiapsiagaan rakyat hadapi musim tengkujuh

Ismail Sabri bergambar bersama pegawai-pegawai agensi di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selepas menyempurnakan majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 di pekarangan Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya, pada Selasa.
Ismail Sabri bergambar bersama pegawai-pegawai agensi di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selepas menyempurnakan majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 di pekarangan Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya, pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2021 pada Selasa bagi meningkatkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat terhadap bencana, khususnya bagi menghadapi musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut (MTL).

Sambutan yang diadakan di Pekarangan Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya itu juga adalah selaras dengan sambutan 'International Disaster Day' (Hari Bencana Antarabangsa) yang disambut pada 13 Oktober setiap tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdull Latiff Ahmad berkata, semua rakyat perlu berusaha untuk memaksimumkan tahap kesiapsiagaan bencana bagi memastikan keselamatan nyawa diutamakan dan meminimumkan kemusnahan infrastruktur serta mengurangkan kerugian kepada masyarakat, industri, kerajaan dan negara secara keseluruhan.

"Kejadian bencana yang semakin kerap berlaku dan hadir dalam pelbagai bentuk mewajarkan kita untuk sentiasa bersiap sedia.

"Oleh itu, kesiapsiagaan masyarakat atau 'civil preparedness' amat penting untuk diterapkan ke dalam Keluarga Malaysia supaya ia menjadi satu budaya.

"Masyarakat perlu sentiasa bersedia dan bukan hanya mengharapkan bantuan agensi-agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan semata-mata ketika bencana berlaku," katanya.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr. Aminuddin Hassim.

Mengulas lanjut, Abdull Latiff berkata, tema BKN pada tahun ini adalah ‘Keluarga Malaysia Siaga Bencana’.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sepanjang bulan Oktober ini terdapat 36 program dan aktiviti telah dijadualkan antaranya program Community Based Disaster-Risk Management (CBDRM), Webinar: Mengenali hazad dan bencana di dalam dan sekitar Malaysia, Forum Iklim Kebangsaan- Monsun Timur Laut 2021/2022 dan Tabletop Exercise (TTX) Pengurusan Bencana Bagi Persediaan Monsun Timur Laut (MTL) 2021/22.

Beliau berkata, aktiviti dan program ini adalah anjuran Nadma dengan kerjasama pelbagai jabatan, agensi serta NGO.

"Pihak kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan koordinasi dan penyelarasan pengurusan bencana dapat diuruskan dengan lebih cekap dan efisien agar mangsa-mangsa bencana mendapat perlindungan serta bantuan yang sewajarnya daripada semua pihak.

"Budaya kesiapsiagaan bukan hanya amalan pada bulan Oktober sahaja tetapi menjadi suatu normal berterusan sehingga kita dapat mencapai 'community resilience'," ujarnya.