X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Malaysia perlu lebih ramai pakar vaksin: Lam Thye

A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia memerlukan lebih ramai pakar dalam bidang vaksin kerana negara mempunyai kemampuan untuk menghasilkan vaksin sendiri, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata, sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) hingga RMK12, terdapat lebih kurang 40 projek pembangunan vaksin diluluskan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Bagaimanapun, beliau berkata, ketika ini, Malaysia belum lagi menghasilkan vaksin buatan sendiri sebaliknya masih bergantung kepada sumber dari negara luar.

"Malaysia mempunyai pakar yang boleh menghasilkan vaksin tetapi kita memerlukan lebih ramai pakar bidang vaksin, maka pembangunan bakat juga dititikberatkan, saya berharap lebih ramai generasi muda dipupuk minat mereka menjadi saintis vaksin," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Selain itu, Lam Thye berkata, penubuhan sebuah institut untuk menghasilkan vaksin Covid-19 buatan Malaysia dapat memudahkan kerajaan menyelaraskan kegiatan pembangunan dan penyelidikan (R&D) berkaitan genom serta vaksin.

Beliau berkata, institut itu yang akan dikenali sebagai Institut Genom dan Vaksin Malaysia dapat memudahkan kerajaan menyelaras semua aktiviti R&D berkaitan genom dan vaksin selain dapat menggembleng tenaga pakar berkaitan dengan lebih cekap.

"Saya mengalu-alukan langkah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba untuk membentangkan cadangan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya satu institut ditubuhkan untuk menghasilkan vaksin Covid-19 buatan Malaysia," katanya.

Selain daripada membangunkan vaksin berkaitan Covid-19, institut itu turut menjalankan R&D dalam penghasilan vaksin bagi penyakit berbahaya lain seperti kanser, denggi, taun dan leptospirosis.

Lam Thye berkata, proses penghasilan vaksin memerlukan kerjasama melibatkan kepakaran daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti kementerian, agensi, institut, pihak swasta serta Pertubuhan Masyarakat Sivil.

"Penubuhan institut ini akan membolehkan kita menghasilkan vaksin buatan Malaysia yang dikenali di peringkat global dan diiktiraf penggunaannya di serata dunia," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!