Vaksinasi remaja di Perak lebih 90 peratus

Saarani ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Remaja di Sekolah Izzuddin Shah, pada Selasa.
Saarani ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Remaja di Sekolah Izzuddin Shah, pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Golongan remaja di Perak tidak terpengaruh dengan maklumat palsu berkaitan vaksin pelajar apabila lebih 90 peratus telah menerima vaksin.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, berdasarkan data pelajar yang divaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja sebanyak 91.6 peratus pelajar sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Menurutnya, sehingga Isnin, sejumlah 126,211 pelajar sekolah berusia 12 hingga 17 tahun di seluruh Perak sudah mendaftar untuk mendapat suntikan vaksin.

"Mengikut pecahan umur, seramai 61,853 pelajar yang berusia 16 hingga 17 tahun sudah mendaftar dan 55,976 atau 90.5 peratus daripadanya sudah menerima vaksin.

"Bagi pelajar berusia 12 hingga 15 tahun pula, 64,358 sudah mendaftar dan 59,641 atau 92.67 peratus telah mendapat suntikan vaksin," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Remaja di Sekolah Izzuddin Shah, di sini pada Selasa.

Hadir sama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud.

Saarani berkata, program vaksinasi remaja telah dimulakan di Perak sejak 20 September lalu dengan dikendalikan bersama oleh Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Beliau berkata, sebanyak 41 PPV telah dibuka bagi tujuan pelaksanaan program ini meliputi sekolah, kolej vokasional dan PPV awam.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, PPV remaja bagi pemberian dos pertama hanya dibuka sehingga 8 Oktober dan pemberian dos kedua akan bermula pada 10 Oktober sehingga selesai.