Bajet 2022 perlu dinilai berdasarkan perbelanjaan tahun lalu

Abu Hafiz semasa program Berani Semuka bertajuk Belanjawan 2022: Kerajaan Atau Rakyat Dapat Untung yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Isnin.
Abu Hafiz semasa program Berani Semuka bertajuk Belanjawan 2022: Kerajaan Atau Rakyat Dapat Untung yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menilai semula bajet Belanjawan 2022 berdasarkan efektif dan kejujuran perbelanjaannya pada tahun lalu.

Ketua Pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, ini kerana tiada negara yang membentangkan bajet kewangan secara negatif untuk membantu rakyat lebih-lebih lagi ketika negara kini berdepan pandemik Covid-19

“Faktanya adalah begitu. Perbelanjaan kerajaan yang disebutkan tadi adalah untuk keuntungan rakyat dan kerajaan juga telah memanggil 29 wakil parti politik untuk terlibat dalam Belanjawan 2021ini.

“Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) diberi RM85.5 juta di peringkat awal dan persoalannya apakah Indeks Prestasi Utama (KPI) mereka yang akan memberikan manfaat kepada rakyat, tiada. Maka mungkin akan berlaku sedikit pengurangan selepas itu,” katanya selaku panelis Program Berani Semuka bertajuk Belanjawan 2022: Kerajaan Atau Rakyat Dapat Untung di Karangkraf di sini pada Isnin.

Program dikendalikan Amin Idris itu turut menampilkan Exco Pemuda UMNO, Muhamad Nur Aizat Noor Azam mewakili kerajaan sebagai panelis.

Mengulas lanjut, Abu Hafiz berkata, ketidakstabilan politik yang berlaku dalam negara turut merosakkan 'mood' para pelabur untuk melabur.

Menurutnya, pada tahun ini, negara dijangkakan akan menerima sejumlah besar daripada belanjawan iaitu hasil daripada percukaian sebanyak RM162.1 bilion.

“Untuk makluman semua dengan pengurusan orang yang sama dan menteri kewangan yang sama, pada Julai 2021 sahaja pungutan cukai kita secara terus hanya RM67.4 bilion sahaja dan RM24.8 bilion kutipan secara tidak langsung.

Artikel Berkaitan:

“Adakah kita mampu untuk mengunjurkan hasil yang telah pun diunjurkan lebih awal iaitu RM162.1 bilion,” ujarnya.

Program Berani Semuka bertajuk Belanjawan 2022: Kerajaan Atau Rakyat Dapat Untung menampilkan Abu Hafiz (kiri) dan Muhamad Nur Aizat sebagai panelis.
Program Berani Semuka bertajuk Belanjawan 2022: Kerajaan Atau Rakyat Dapat Untung menampilkan Abu Hafiz (kiri) dan Muhamad Nur Aizat sebagai panelis.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan penilaian KPI kepada perbelanjaan terhadap pelantikan politik khususnya duta khas bertaraf menteri.

“Ahli Parlimen Marang, menerima gaji lebih kurang RM63,727 sebulan. Ini diletakkan dalam Belanjawan 2021 dengan tambahan setiausaha sulit kanan, setiausaha politik dan pegawai khas.

“Apakah KPI yang telah beliau capai? dan pelantikan ini bukan satu tetapi ada dua hingga tiga orang lagi duta khas bertaraf menteri. Apa yang kita mahukan, kebertanggungjawaban bagaimana mereka itu diukur dan diaudit,” jelasnya.

Sementara itu, Abu Hafiz berkata, rakyat tidak perlu menjadi orang yang aktif dalam parti politik tetapi perlu terlibat dengan partisipasi dalam politik kenegaraan.

“Ia perlu disemak imbang, dikritik dan diberikan pandangan kedua dan ketiga,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dibentangkan di bawah Keluarga Malaysia, makmur, inklusif dan mapan gagal untuk bertindak secara berani dalam mendobrak kemiskinan luar bandar.

“Saya berikan fakta, dalam RM100 yang dimunculkan dalam hasil negara kita, RM16 adalah milik B40 tetapi tidak ditambah dalam RMK12 ini untuk mencapai kepada RM20, RM30 bagi golongan B40 dan ia tidak mencapai begitu.

“Penambahan hanyalah 0.7 peratus daripada RMK11 ke RMK12 yang disebut oleh pakar ekonomi bahawa ia akan bertambah daripada RM16.00 kepada RM16.70 sahaja.

“Sedangkan pada RMK11, ia diunjurkan untuk mencapai di penghujungnya adalah RM20. Kalau ia diacu mengikut RMK12 bagaimana ia mampu untuk melawan dan menyelesaikan masalah diluar bandar khususnya dalam wabak Covid-19 yang kini berada pada fasa pemulihan,” ujarnya.