Peniaga dakwa rugi RM139,500 ditipu Macau Scam

Seorang peniaga mendakwa rugi RM139,500 akibat diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis dan kakitangan LHDN akhir bulan lalu. Gambar kecil: Mohd Wazir
Seorang peniaga mendakwa rugi RM139,500 akibat diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis dan kakitangan LHDN akhir bulan lalu. Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga mendakwa mengalami kerugian RM139,500 akibat diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis dan kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), akhir bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 50 tahun mendakwa menerima panggilan telefon pada 25 September daripada seorang wanita kononnya pegawai LHDN di Melaka.

"Suspek (wanita) mendakwa syarikat ditubuhkan mangsa mempunyai tunggakan cukai, yang dinafikan mangsa menyebabkan wanita itu menghubungkan panggilan itu kepada seorang suspek lelaki kononnya pegawai polis di Ibu Pejabat Kontinjen Melaka bagi membantu mangsa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Wazir berkata, ‘pegawai polis’ itu kemudian memaklumkan syarikat di bawah nama mangsa turut terlibat dengan siasatan kes jenayah dan mangsa perlu menyerahkan maklumat peribadi serta perbankan bagi tujuan semakan untuk 'membersihkan' wang mangsa.

Selain itu beliau berkata, mangsa juga diarahkan memindahkan wang miliknya ke akaun sementara diberikan ‘pegawai polis’ itu sehingga siasatan selesai yang dilakukan mangsa menerusi 11 transaksi secara dalam talian bermula 27 September lalu sehingga Isnin.

"Mangsa mula berasa curiga apabila 'pegawai polis' itu enggan menjawab jangkaan masa untuk wangnya dikembalikan semula selain semakin mendesak supaya lebih banyak transaksi pemindahan wang dibuat.

"Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Ruan, Raub semalam dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: