Warga Kemboja maut dipukul rakan senegara

Seorang buruh binaan warga Kemboja maut dalam pergaduhan selepas dipercayai dipukul dengan objek tumpul di Kampung Penambang, Kota Bharu pada Ahad. - Gambar hiasan
Seorang buruh binaan warga Kemboja maut dalam pergaduhan selepas dipercayai dipukul dengan objek tumpul di Kampung Penambang, Kota Bharu pada Ahad. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang buruh binaan warga Kemboja maut selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan dengan rakan sekerjanya berpunca akibat tidak berpuas hati dengan bayaran membaiki sebuah tandas di Kampung Penambang di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, dalam kejadian pada jam 10 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Sovann Arozak, 40, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada jam 11 pagi Isnin.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal pegawai perubatan, terdapat kecederaan pada bahagian kiri kepala mangsa dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.

“Sovann dibawa ke hospital menggunakan ambulans pada jam 10.45 malam, Ahad akibat kecederaan di kepala kerana terbabit pergaduhan dengan rakan sekerja di hadapan sebuah rumah di Kampung Penambang.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian pergaduhan itu berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan rakan sekerjanya berkaitan pembayaran upah bagi kerja-kerja membaiki tandas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Abdul Rahim berkata, suspek dalam kejadian itu dikenal pasti adalah seorang rakan senegara mangsa yang berusia 29 tahun.

“Mayat Sovann dihantar ke Unit Forensik HRPZ II, Kota Bharu untuk bedah siasat.

“Usaha giat dijalankan oleh pihak polis untuk mengesan dan menangkap suspek yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, menurut keluarga mangsa, lelaki itu masih bujang dan datang ke Malaysia pada awal tahun 2019 untuk bekerja sebagai buruh binaan dengan tinggal menyewa seorang diri.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.