Sanggup dapat upah RM18 sehari, demi kemahiran buat perabot

Muhamad Zamzuri sanggup bermula dari bawah sebelum membuka perniagaan sendiri.
Muhamad Zamzuri sanggup bermula dari bawah sebelum membuka perniagaan sendiri.
A
A
A

KUANTAN - Melihat kejayaan beberapa usahawan dalam perniagaan, mendorong pemilik dan pengurus Syarikat Zury Renovation & Furniture, Muhamad Zamzuri Hashim untuk menceburi perniagaan pembuatan perabot dan reka bentuk dalaman.

Keinginan itu timbul sewaktu lelaki berusia 46 tahun itu bekerja dengan beberapa syarikat pembuat perabot lebih 28 tahun lalu.

Menurutnya, pulangan lumayan yang diraih bekas majikan setiap kali mendapat tempahan pelanggan menjadi pembakar semangat untuk dia mengasah kemahiran bertukang dengan sebaiknya.

Muhamad Zamzuri mementingkan ketelitian setiap kali melakukan kerja-kerja pertukangan.
Muhamad Zamzuri mementingkan ketelitian setiap kali melakukan kerja-kerja pertukangan.

Justeru, katanya, menjadi satu keperluan untuk menimba pengalaman, mengasah kemahiran dan kreativiti dalam menghasilkan produk sebelum membuka perniagaan tersebut.

"Saya pernah jadi kuli (pekerja) selepas tamat belajar dalam bidang pertukangan di Institut Kemahiran Mara (IKM) Alor Setar, Kedah sekitar tahun 1993.

"Ketika itu saya bekerja dengan enam syarikat pengeluar perabot di sekitar Kedah dan Pahang serta hanya menerima gaji sebanyak RM18 sehari.

"Saya tidak kisah walaupun upah tidak seberapa kerana niat saya adalah untuk mengasah kemahiran dalam menghasilkan perabot yang berkualiti dan kreatif untuk pelanggan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di premis perniagaanya di kawasan perindustrian Indera Mahkota 14 pada khamis.

Artikel Berkaitan:

Muhamad Zamzuri bertanyakan sesuatu kepada pekerja.
Muhamad Zamzuri bertanyakan sesuatu kepada pekerja.

Bapa kepada dua anak itu berkata, selepas lebih tiga tahun mencari rezeki di perantauan, Muhamad Zamzuri akhirnya pulang ke daerah ini dan bekerja di sebuah syarikat pembuatan di sekitar bandar raya Kuantan.

Menurutnya, pendapatan yang di raih pada ketika itu mencecah sehingga RM3,000 sebulan selepas berjaya menyiapkan perabot yang di tempah pelanggan.

Jelasnya, pendapatan lumayan itu telah memberi keyakinan bahawa dirinya sudah bersedia untuk memiliki bengkel pembuatan perabot dan rekaan dalaman miliknya 100 peratus.

"Bila terima bayaran semahal itu, saya yakin sudah mahir dalam bidang ini dan mula berfikir untuk membuka sebuah bengkel perabot sendiri.

"Sejujurnya saya tidak terlintas dalam fikiran untuk menjadi seorang pemilik syarikat kerana niat asal hanyalah untuk makan gaji sahaja.

"Tetapi, inspirasi ini tercetus daripada bekas majikan, selain pulangan lumayan diperolehi menjadi pembakar semangat dan tanpa di sedari perniagaan yang diimpikan ini sudah beroperasi hampir 20 tahun," ujarnya.

Berhutang beli mesin dan peralatan perabot

Bermodalkan wang simpanan dan duit deposit rumah sewa sebanyak RM1,500 Muhamad Zamzuri berjaya membuka bengkelnya dengan menyewa sebuah bangunan di Indera Mahkota.

Pekerja Muhamad Zamzuri sedang memasang dinding yang ditempah pelanggan.
Pekerja Muhamad Zamzuri sedang memasang dinding yang ditempah pelanggan.

Bagaimanapun, pada waktu itu, dia tidak mempunyai modal untuk membeli mesin untuk kerja-kerja pertukangan perabot.

"Kalau ikutkan modal yang ada ketika itu cuma RM1,500 dan duit ini cukup untuk membayar sewa bangunan, sedangkan saya perlukan RM3,000 bagi membeli beberapa alatan sebelum perniagaan ini beroperasi.

"Jadi, saya terpaksa membeli kelengkapan alatan secara berhutang dan bersyukur kerana ada pihak yang sudi membenarkan saya membuat pembayaran secara ansuran," jelasnya.

Antara dekorasi dalaman yang berikan kepada pelanggan.
Antara dekorasi dalaman yang berikan kepada pelanggan.

"Di awal perniagaan saya banyak membuat promosi supaya orang yakin dengan kemahiran yang ada pada saya.

"Tapi kini, Alhamdulillah syarikat saya sudah mula dikenali dan mendapat tempahan daripada orang kenamaan dan komited dengan membuka satu pusat sehenti masa hadapan," katanya.