Debaran menanti kebenaran rentas negeri

No Image Caption
A
A
A

KENYATAAN Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa kerajaan berkemungkinan membenarkan semua orang dapat merentas negeri selewat-lewatnya bulan ini adalah berita yang pastinya menggembirakan.

Keputusan itu dikatakan diambil berdasarkan data setelah kadar vaksinasi meningkat hampir 90 peratus.

Siapalah tidak seronok dan teruja. Hasrat mahu balik ke kampung halaman jumpa mak ayah dan boleh melancong ‘cuti-cuti Malaysia’ bersama ahli keluarga tersayang yang sekian lama tertangguh kini akan menjadi kenyataan.

Memang ‘seksa’ terkurung apabila dilarang merentas negeri. Akibat Covid-19, pergerakan terbantut.

Rasa rindu nak pekena makanan kegemaran di tempat-tempat yang jauh terpaksa dipendamkan.

Kini, waktu untuk merentas negeri hampir tiba. Semua orang ada rancangan masing-masing. Macam dah tak sabar-sabar lagi menunggu saat dan ketikanya.

Cuma yang menghairankan, belum pun kerajaan umum secara rasmi, banyak sekatan jalan raya yang dilaksanakan sebelum ini di kawasan-kawasan tertentu sudah tidak lagi kelihatan.

Ia menyebabkan ada orang sudah pun boleh balik ke kampung dengan sebebas-bebasnya.

Artikel Berkaitan:

Yang nak jumpa kawan, ada urusan bisnes dan nak makan angin pun boleh dapat berjalan sesuka hati.

Dijangkakan kes penularan Covid-19 di Malaysia akan berkurangan secara perlahan-lahan sedikit masa lagi.

Kita harap semua orang bila merentas negeri dan merayau ke mana sekali pun, patuhi prosedur operasi standard (SOP).

Kita dibenarkan merentas negeri bukan bermakna telah menang melawan virus Covid-19. Virus ini masih ada di mana-mana sahaja tanpa kita sedari.

Mahu tak mahu, kita akan terus pakai pelitup muka, mengimbas kod QR MySejahtera, memeriksa suhu badan dan menggunakan cecair sanitasi tangan setiap kali memasuki mana-mana premis perniagaan.