Peluang Luqman Hakim pamer sentuhan

Luqman Hakim (kiri) membarisi skuad Harimau Malaya pada Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai Jun lepas.
Luqman Hakim (kiri) membarisi skuad Harimau Malaya pada Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai Jun lepas.
A
A
A

PENYERANG muda berpotensi negara, Luqman Hakim Shamsudin memiliki peluang terbaik membuktikan ketajamannya sebagai penggempur skuad Harimau Malaya pada dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Jordan bulan ini.

Ini selepas Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe memberi jaminan pemain kelab Liga Belgium, KV Kortrijk berusia 19 tahun itu akan mendapat waktu permainan secukupnya pada kedua-dua perlawanan tersebut.

"Kita (barisan kejurulatihan) tahu kemampuan dan tahap keyakinan Luqman kerana selepas beberapa kali bersama pasukan kini beliau nampak semakin serasi dengan pemain lain.

"Kita akan terus memantau perkembangannya dan sudah tentu akan diberi minit permainan sewajarnya kepada beliau bersama skuad kebangsaan kali ini," katanya pada sidang media secara maya pada Isnin.

Luqman Hakim kini mengumpul tiga penampilan bersama pasukan negara selepas dipanggil memperkuatkan skuad Harimau Malaya menghadapi kempen Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun lepas.

Namun, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu hanya diturunkan sebagai pemain gantian dalam ketiga-tiga aksi tersebut termasuk satu perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 yang diadakan sebelum kempen kelayakan bermula.

Malaysia yang menduduki ranking ke-154 dunia akan berdepan Jordan (ke-93 dunia) di Stadium King Abdullah II di Amman pada 6 Oktober dan Uzbekistan (ke-84 dunia) di Stadium Antarabangsa Amman, 9 Oktober.

Sementara itu, Cheng Hoe juga tidak menolak kemungkinan beberapa muka baharu akan diberi peluang dalam kesebelasan utama pasukan pada siri persahabatan itu dalam usaha memberi pendedahan serta mencari kombinasi terbaik pasukan kendaliannya.

Artikel Berkaitan:

"Kami sedang menilai setiap pemain baharu yang datang ke skuad kebangsaan kali ini dan selepas beberapa sesi latihan kita nampak mereka ada kesungguhan serta keyakinan dan sudah tentu semua pemain yang datang ke skuad kebangsaan akan diberikan peluang beraksi," katanya.

Lima muka baharu dalam skuad Cheng Hoe kali ini ialah penjaga gol Petaling Jaya City FC Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, dua pemain Penang FC Quentin Cheng dan Muhammad Al Hafiz Harun, pemain Selangor Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dan tonggak Terengganu FC Muhammad Hakimi Abdullah. - Bernama